Lagi Tragedi Konsert, Kali Ini Pekerja PSY Jatuh Dari Ketinggian 15 Meter!

Share

 

Baru sahaja pada minggu lalu, REMAJA melaporkan mengenai insiden dua penari kumpulan Hong Kong popular, MIRROR yang cedera setelah skrin gergasi di pentas konsert jatuh ke atas mereka.

ARTIKEL BERKAITAN : Penari Grup MIRROR Mungkin Lumpuh Akibat Insiden Skrin Gergasi Jatuh – REMAJA

Hanya selang beberapa hari sahaja, satu lagi tragedi telah mengejutkan dunia hiburan antarabangsa.

Kali ini, ia membabitkan seorang petugas lelaki di tapak konsert ‘Summer Swag’ oleh penyanyi Korea Selatan, PSY yang berakhir pada Ahad lalu.

Sehari selepas konsert berakhir, petugas berusia dalam lingkungan 20-an dari Mongolia itu sedang sibuk mengemas dan membuka semula set pentas konsert di salah satu ‘menara’ set konsert dekat Stadium Gangneung, Korea.

Pada ketinggian 15 meter, dia dilaporkan terjatuh ketika sedang mengalihkan salah satu lampu yang digunakan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital berdekatan, namun disahkan meninggal dunia setelah mengalami serangan jantung; menurut laporan portal Korea Joongang Daily.

Dalam pada itu, agensi P Nation yang mewakili PSY menyatakan rasa dukacita mereka di atas insiden yang berlaku ini. Kenyataan mereka pada 31 Julai lalu berbunyi, “Kami mengucapkan takziah kepada pekerja yang telah meninggal dunia setelah berlakunya satu insiden secara mengejut. Kami juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarganya.

“Kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk mengelakkan kejadian seperti ini daripada berlaku lagi, dengan penuh rasa tanggungjawab,” catat P Nation.

Diharap, kejadian yang berlaku di konsert MIRROR dan PSY dijauhkan daripada konsert-konsert yang dijadualkan berlangsung di ibu negara sepanjang tahun ini.

BACA LAGI : CL & Jackson Wang Di Sunway Lagoon Untuk Good Vibes Weekender, Tiket Dijual 3pm Ini – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ