Lagu Malaysia Jadi JUARA Di Kanada! Ketepikan 40 Negara Lain

Share

 

Kita semua tahu bahawa Malaysia amat ‘kaya’ dengan penggiat seni yang cukup kreatif dalam pelbagai cabang. Cuma, rezeki dan peluang untuk mereka pamerkan kreativiti masing-masing di peringkat antarabangsa itu tidak selalunya hadir untuk semua orang pada waktu yang sama. Namun yang pasti, kita mempunyai bilangan individu yang wajar dibawa ke hadapan.

Semalam, sekali lagi nama negara telah diharumkan di peringkat antarabangsa apabila sebuah lagu ciptaan komposer tempatan telah memenangi sebuah kategori utama di International Media Festival for Prevention (IMFP).

Bertempat di Toronto, Kanada; lagu ciptaan Asfan Shah, Lady D dan Tripdisk serta rapper Kmy Kmo yang berjudul SIFAR telah menjuarai kategori ‘Music Is Key’ sekaligus mengenepikan 289 penyertaan lain daripada 40 buah negara lain.

Menariknya mengenai acara berprestij adalah ia telah dianjurkan selama tiga tahun sekarang bagi memberi pengiktirafan kepada hasil multimedia dan filem yang bertemakan keselamatan dan kesihatan pekerja. Ia amatlah selari dengan situasi semasa dunia yang masih bergelut dengan wabak COVID-19 dan macam-macam lagi tema berkaitan keselamatan sosial.

Faktor utama yang mengangkat SIFAR sebagai juara semalam adalah disebabkan mesej positif yang ditampilkan dalam bahagian liriknya demi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia dalam melindungi diri dan mencegah kemalangan dalam kalangan generasi muda.

Untuk pengetahuan, lagu SIFAR ini sebenarnya pernah menjadi runut bunyi (OST) dalam filem Warkah yang diterbitkan PERKESO pada tahun 2019. Kebetulan pula, kemenangan ini dicatatkan semasa bulan sambutan Hari Malaysia 2021, kemenangan ini sekaligus amat bermakna buat segenap rakyat Malaysia dan bukan hanya untuk PERKESO atau artis-artis yang terlibat dalam penerbutan lagu ini.

Kata Ketua Eksekutif PERKESO iaitu Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed, selepas ini PERKESO akan terus memperbanyakkan lagi mesej khas kepada generasi muda seperti ini dengan menggunakan platform media sosial dan dunia digital.

Bagi korang yang belum pernah mendengar lagu SIFAR yang telah memperolehi lebih 450 ribu tontonan, klik video di bawah ini.

TAHNIAH kepada pemenang!

Published by
FZ