Lain Negeri Lain Prosedur Solat Aidilfitri, Cer Check Sebelum Ke Masjid Esok

Share

 

Perlaksanaan solat sunat Aidilfitri pada pagi esok bakal dilakukan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Begitupun, setiap negeri didapati mempunyai sedikit perbezaan dalam cara perlaksanaannya mengikut arahan yang dikeluarkan olehh jabatan agama di setiap negeri pada minggu ini.

Jom lihat arahan di negeri korang.

 

Selangor

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Sumber Foto : Info Masjid Kita

Terdahulu, kerajaan negeri Selangor menerusi Jabatan Agama Islam Selangor telahpun mengeluarkan jumlah jemaah yang dibenarkan menghadiri solat sunat Aidilfitri.

Bagaimanapun, setelah pengumuman rasmi Perdana Menteri mengenai perlaksanaan PKP di seluruh negara bermula hari ini, arahan tersebut telah diubah seiring dengan perkembangan baharu itu.

Bagi masjid dan surau yang mempunyai kapasiti biasa melebihi 1000 jemaah, hanya 50 orang jemaah dibenarkan. Bagi yang kapasiti biasanya kurang daripada 1000 jemaah, hanya 20 orang jemaah dibenarkan.

Selain itu, setiap jemaah perllu dipisahkan dengan penjarakan 1.5 meter. Dan setiap baris saf pula perlu diselang satu baris.

 

Pulau Pinang

Sistem penggiliran akan dilakukan mengikut arahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP). Solat sunat Aidilfitri akan dilakukan dalam tiga sesi berbeza dan kehadiran jemaah ke masjid serta surau dibuat secara giliran.

Sesi pertama bermula dari jam 8.30 pagi hingga 9.15 pagi, sesi kedua; 9.45 pagi hingga 10.30 pagi dan akhir sekali sesi ketiga; 11 pagi hingga 11.45 pagi. Di samping itu, setiap sesi hendaklah diimamkan oleh individu berbeza.

Biarpun ada jarak 30 minit di antara setiap sesi, ia adalah untuk memudahkan proses sanitasi dan bukannya untuk digunakan jemaah bagi beramah mesra di luar kawasan masjid.

 

Perak

Sumber Foto : Isma Web

Jumlah maksimum jemaah yang dibenarkan adalah 50 orang di masjid dan surau yang berkapasiti 1000 di seluruh Perak. Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) juga menetapkan hanya warganegara lelaki dan berusia 12 tahun ke atas saja yang dibenarkan.

Menariknya, Perak juga membenarkan solat sunat Aidilfitri untuk dilakukan di kawasan lapang dan terbuka (bukan masjid atau surau) tidak melebihi 50 orang jemaah dengan penjarakan fizikal.

 

Melaka

Masjid Al Azim. Sumber Foto : MyMasjid

Solat sunat Aidilfitri dibenarkan dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di seluruh negeri mengikut kapasiti masjid dan surau. Namun, rakyat diingatkan untuk tidak menambah ruang ekstra solat seperti meletakkan khemah. Selain itu, warga asing tidak dibenarkan untuk menyertai jemaah esok.

 

Negeri Sembilan

Sumber Foto: Galeri Diraja Tuanku Ja’afar

Kerajaan negeri turut menetapkan jumlah maksimum 50 orang untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri esok. Bagi surau pula, hanya seramai 20 orang jemaah dibenarkan.

Negeri Sembilan lebih tegas dari segi syarat had umur apabila hanya lelaki warganegara berusia 15 tahun ke atas dibenarkan menyertai dalam tempoh PKP sekarang.

 

Perlis

Masjid Alwi Kangar. Sumber Foto : MAIPS

Solat sunat Aidilfitri di seluruh negeri Perlis tidak akan dilakukan di masjid atau surau esok. Sebaliknya, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamullail bertitah agar solat sunat itu dilaksanakan di tanah lapang dengan pengawasan pihak masjid.

Sesi solat akan bermula dari jam 8 pagi. Bagaimanapun, titah Baginda, sekiranya cuaca tidak mengizinkan esok, solat sunat boleh dilakukan dalam masjid mengikut SOP yang ditetapkan.

Orang ramai digalakkan membawa uncang pembungkus kasut bagi menjaga kesucian kawasan selain membawa payung sendiri. Hanya penduduk tetap saja yang dibenarkan.

ARTIKEL BERKAITAN : Ini Antara Senarai SOP Hari Raya Aidilfitri Yang Korang Perlu Tahu – REMAJA

BACA LAGI : Senarai Lokasi Sekatan Jalan Raya Sepanjang Tempoh PKP 3.0 – REMAJA

Published by
FZ