Lakaran Ceria Pada ‘Cape’ Miss Universe Malaysia 2022 Pamer Kreativiti Artis Tempatan, Nini Marini

Share

Wakil Malaysia ke pertandingan ratu cantik, Miss Universe 2022, Lesley Cheam pada hari ini telahpun menyempurnakan saingan di peringkat preliminary dengan jayanya.

Lesley, 26 bersama-sama 84 wakil negara lain dengan penuh bangga telahpun membawa nama negara masing-masing menerusi empat segmen berbeza.

Ia termasuklah segmen pengenalan nama Malaysia dan pertunjukan kostum nasional di mana Lesley mempersembahkan kostum rekaan Hatta Dolmat bertemakan keunikan tarikan geografi negara, Kota Kinabalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kostum Gunung Kinabalu Simbolik Miss Universe Malaysia Sebagai Wanita Pada Posisi Tertinggi – REMAJA

Lesley Cheam.

Ia diikuti pusingan pakaian mandi dan akhir sekali pusingan gaun malam yang juga direka khas oleh Hatta Dolmat.

Menariknya tentang pusingan pakaian mandi pada edisi ke-71 Miss Universe ini, setiap wakil negara diminta untuk merekacipta lakaran pada sehelai fabrik putih kosong untuk dijadikan aksesori tambahan berupa cape pada bahagian bahu.

Lesley menerusi organisasi Miss Universe Malaysia telahpun berkolaboratif dengan artis tempatan, Nini Marini bagi rekaan cape ini.

Nini Marini
Rekaan ‘Cape of Kindness’ yang dipersembahkan oleh Lesley Cheam.

Kata Nini menerusi video yang dimuat naik, inspirasi di sebalik cape ini hadir daripada perbualannya dengan Lesley sendiri mengenai agenda menyebarkan kebaikan kepada orang ramai.

“Apabila terfikir mengenai Malaysia, negara ini adalah mengenai masyarakatnya yang baik hati. Lesley ingin berkongsi mesej tersebut dengan semua orang dan ia adalah sesuatu yang penting baginya.

“(Lesley) juga sukakan bunga matahari dan perkara menceriakan. Dia juga sempat memberitahu saya mengenai warna-warna kegemarannya dan hasilnya, saya telah menghasilkan rekaan ‘Cape of Kindness’.

“Saya telah sertakan bentuk bunga matahari, jika diterbalikkan ia kelihatan seperti pohon bunga matahari malah mempunyai corak seakan akarnya.”

“Saya berharap dahannya akan kelihatan seperti sayap. Saya memanggilnya ‘Sayap Kelopak’ (Wings of Petals) untuk Lesley. Apabila dia menebarkan kain sewaktu berpusing, dia ibarat sedang menebarkan kebaikan kepada semua penonton di sana.

“Saya berharap Lesley merasa cukup bertenaga apabila memakai (cape) ini,” tinta Nini yang juga merupakan suri hati kepada rapper, Joe Flizzow.

Menerusi hantaran di Instagram Story, Nini menyifatkan persembahan Lesley yang menyarungkan ‘Cape of Kindness’ itu semasa pusingan pakaian mandi telah dilaksanakan dengan cukup baik dan membanggakan dirinya sebagai pereka.

BACA LAGI: Miss Universe 2022: Aksesori Ferronnière Jadi Pelengkap ‘Gaun Rahsia’ Hatta Dolmat Untuk Lesley Cheam – REMAJA

FOTO: Instagram Nini Marini & Lesley Cheam

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ