Lakukan Solat Sunat Gerhana Matahari, Mulai 11 Pagi Hingga 1 Tengah Hari

Share

Fenomena gerhana matahari separa sedang berlaku pada waktu ini di kawasan tertentu sekitar Malaysia.

Dalam pada semua orang teruja berdiri di luar bangunan untuk menyaksikan kejadian yang Gerhana Anulus ini dengan mata sendiri, jangan dilupa pula tuntutan sunat Muakkad. Islam menyarankan agar kita menunaikan solat sunat gerhana sempena gerhana matahari separa seperti yang berlaku pada hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN : Selain Matahari Tegak Di Atas Kaabah, Ini Lagi Fenomena Unik Dunia Dapat Disaksikan Esok

gerhana matahari hidbrid. Foto Via MYSA

Malah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut menyarankan agar semua masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan melaksanakan solat sunat dan khutbah gerhana.

Mulai 11 Pagi Hingga 1 Tengahari

Jawi menerusi kenyataan akhbar berkata, fenomena itu akan berlaku mulai 11 pagi hingga 1 tengah hari esok dan solat sunat boleh dilakukan pada waktu berkenaan. Menurutnya, teks khutbah itu boleh dimuat turun di laman sesawang rasmi Jawi.

“Sesungguhnya fenomena gerhana adalah sebahagian daripada lambang kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dalam penciptaan alam yang perlu dihayati dan dijadikan iktibar dalam kehidupan umat Islam,” katanya.

Malaysia akan mengalami gerhana matahari separa pada Khamis bersempena dengan fenomena gerhana matahari hibrid yang berlaku ke utara dari benua Australia.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena itu bermula jam 11 pagi hingga selewat-lewatnya jam 2 petang bagi pemerhati di Sabah, manakala ia akan tamat lebih awal iaitu sekitar 1 tengah hari bagi pemerhati di Semenanjung.

MOSTI turut mengingatkan orang ramai untuk tidak melihat matahari secara terus tanpa menggunakan penuras khas kerana ia boleh merosakkan retina mata dan boleh mengakibatkan buta kekal.

Untuk info, Gerhana matahari separa adalah fenomena yang jarang berlaku dengan kali terakhir adalah pada 21 Jun 2020 dan ia hanya akan berlaku semula pada 2 Ogos 2027, iaitu sekitar empat tahun lagi.

Niat solat sunat gerhana matahari ialah :

“Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta’ala”. Cara paling ringkas untuk menunaikan solat sunat gerhana adalah seperti solat sunat Zuhur.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana