Aktiviti berbasikal yang semakin popular di kalangan masyarakat Malaysia baru-baru ini mendapat perhatian ramai apabila ramai grup berbasikal di seluruh negara yang tidak begitu jelas dengan status berbasikal di jalan raya.
Boleh ke tak boleh sebenarnya?
Ada yang mengatakan mereka harus mendapatkan permit sekiranya ingin menunggang secara berkumpulan di jalan raya. Ada juga yang mengatakan aktiviti tersebut tidak dibenarkan sama sekali atas faktor keselamatan awam.
Hari ini menerusi slot Awani Pagi, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali menjelaskan tentang dilema ini.
“Berbasikal ini boleh, jalan ke mana-mana saja tak perlu permit. Tapi sekiranya nak lalu di jalan raya; contoh ada marathon atau acara seperti Le Tour De Langkawi, pihak tersebut perlu memaklumkan kepada kita (pihak polis) supaya kita boleh buat kawalan.
“Tapi bagi keadaan biasa untuk berekreasi atau untuk pergi ke kedai runcit dengan berbasikal, tak perlu permit pun. Boleh tunggang macam biasa kerana undang-undang sudah ada. Jalan saja mengikut peraturan. Sama saja seperti menunggang motosikal, lampu merah kita berhenti, ikut lorong yang disediakan dan jangan berbasikal secara berterabur,” kata beliau.
Awani Pagi turut mendapatkan pendapat daripada komuniti berbasikal tentang isu keselamatan di jalan raya ini. Bercakap dengan pengasas komuniti Plan A Bukit Jelutong iaitu Faz Adhij pagi ini, dia mencadangkan agar lebih banyak laluan khas berbasikal yang diwujudkan bagi memberikan pengalaman yang lebih menyelesakan dan selamat kepada mayarakat. Namun..
“Dengan ekonomi sekarang yang tidak menentu, infrastruktur baru seperti ini tentulah akan memakan belanja yang sangat tinggi. Di Malaysia, kita ada banyak laluan motosikal yang boleh dikongsi.
“Baru-baru ini saya telah ke Kementerian Belia & Sukan untuk duduk bersama-sama wakil Perbadanan Putrajaya, polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Apa yang saya usulkan adalah untuk membuka laluan motosikal seperti di Lebuhraya Guthrie, KESAS dan Lebuhraya Persekutuan ditutup khas untuk penunggang basikal saja pada hari minggu.
“Ini kerana aliran trafik motosikal di Lembah Klang pada hujung minggu adalah rendah. Jadi pendekatan seperti ini adalah lebih efektif,” kongsinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Malang Tidak Berbau, 9 Tip Keselamatan Berbasikal Ini Wajib Dipraktikkan – REMAJA
Apa pendapat korang? Adakah wajar jika laluan motosikal di lebuhraya dikhaskan kepada grup berbasikal seperti laluan khas untuk bas dan teksi yang kini dilakukan di Lebuhraya Persekutuan pada waktu-waktu tertentu?