Siapa kata orang yang kulit gelap ini kurang cantik dan tak menarik. Cantik okay!
Jangan malu jika anda mempunyai jenis kulit sawo matang kerana ada banyak keunikan serta kelebihan yang tersendiri terutama dari aspek kesihatan. Jom baca artikel ini!
ARTIKEL BERKAITAN : “Brown Sugar Is Sexy…”, Nabila Huda Risau Obsesi Masyarakat Terhadap Kulit Putih
Mereka yang berkulit gelap memang beruntung kerana lapisan kulitnya sudah dilapisi ‘pelindung’ cahaya matahari semula jadi dipanggil melanin!
Berbeza dengan yang berkulit cerah, mereka kekurangan melanin membuatkan sinar uv mudah tembus sehingga ke lapisan kulit paling dalam. Sinar uv ini menyebabkan kerosakan DNA serta sel-sel yang ada padanya sehingga boleh mengakibatkan terjadinya kanser kulit.
Untuk pengetahuan semua, kanser kulit juga membunuh sama seperti mana penyakit barah yang lain.
Biarpun begitu, orang berkulit gelap ini biasanya sering kekurangan vitamin D yang biasa diperolehi dari matahari untuk kekuatan tulang.
Sunburn atau selaran matahari biasa dialami oleh mereka yang berkulit putih. Kulit berasa perit dan jadi kemerahan apabila terdedah pada cahaya matahari untuk jangka masa panjang tanpa seberang perlindungan. Lebih parah, selaran matahari juga mampu buat sesetengah kulit mengelupas.
Berbeza dengan mereka yang berkulit gelap, biarpun harus menghabiskan sehari suntuk di bawah matahari, adalah sukar bagi mereka untuk mengalami keperitan kulit disebabkan sunburn itu!
Kulit akan cepat tua jika terlalu banyak terdedah pada sinaran matahari. Namun begitu, individu berkulit gelap tanda penuaan pada kulit mereka tidak ketara.
Pakar kulit mengatakan mereka yang berkulit hitam akan kelihatan lebih muda jika dibandingkan dengan teman sebaya mereka yang berkulit cerah. Kadar melanin yang tinggi pada individu berkulit gelap akan membantutkan tempoh penuaan termasuklah kemunculan pigmentasi, bintik hitam, kedutan serta kulit kasar.
Selain dari menentukan warna kulit dan rambut seseorang, melanin yang banyak pada kulit mereka yang berkulit hitam juga ada fungsi lain. Ia adalah sumber utama yang mengekalkan fungsi tubuh antaranya membantu otak dan saraf berfungsi sebaiknya, membantu mata untuk melihat serta menggalakkan pertumbuhan sel. Hebat kan!
Pigmentasi gelap berupaya mengelak kerosakan DNA dan mengawal penyerapan jumlah radiasi UV yang seimbang untuk tubuh manusia. Ia juga akan melindungi tubuh dari gejala kekurangan zat folat.
Folat adalah vitamin B larut air yang boleh didapati dari sayuran berdaun hijau, bijian penuh serta buah sitrus seperti limau. Wanita amat memerlukan folat untuk mengekalkan kesihatan telur yang dihasilkan agar ia mampu disenyawakan secara sihat serta menggalak pertumbuhan plasenta yang normal selepas proses persenyawaan.
Bagi kaum lelaki pula, folat penting untuk penghasilan sperma berkualiti. Folat sememangnya mustahak untuk perkembangan kandungan, pertumbuhan organ janin serta menyokong kejadian rangka tubuh dan otak janin.
Oleh itu, individu berkulit gelap yang hamil rata-ratanya terpelihara dari ‘kecacatan janin’.
Radikal bebas mengancam kesihatan manusia. Ia boleh merosak dan memusnahkan sel tubuh manusia. Tapi individu berkulit gelap yang memiliki kadar melanin tinggi mampu membebaskan radikal bebas tersebut agar sel-sel tubuh sentiasa berada dalam keadaan baik.
Buat anda yang berkulit gelap bersyukurlah dengan apa yang anda miliki, dah tentunya setiap kejadian Tuhan itu ada hikmahnya.
Anda patut bangga kerana memiliki warna kulit yang dianggap eksotik. Tak ramai yang memiliki kelebihan ini malah ramai wanita di negara barat yang cukup mengidamkan memiliki kulit sebegini.
Kesimpulannya, tak kisah kita kulit berwana apa kerana setiap manusia dan benda ada kelebihannya dan keistimewaannya masing-masing.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.