
Baru-baru ini, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memulakan projek rintis yang melibatkan pengambilan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas pegawai tentera dan polis untuk akan ditempatkan di beberapa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) terpilih di seluruh negara.
Menurut Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu kenyataan di laman Facebook, langkah ini adalah sebahagian daripada inisiatif proaktif pihak MARA untuk memastikan disiplin di MRSM lebih diperkukuh dan sentiasa terjaga serta bertujuan mencapai matlamat ‘sifar buli’ di institusi berprestij tersebut.

“Cadangan ini telah saya bangkitkan dalam Majlis MARA dan telah dipersetujui sebulat suara. Buat permulaan ini, projek rintis (pilot) akan dimulakan dengan melibatkan beberapa MRSM bagi melihat dan mengkaji keberkesanan inisiatif ini”
“Kerjasama juga akan dilakukan dengan Persatuan Veteran Tentera dan Bekas Polis bagi mengenal pasti kriteria pemilihan,” tulisnya menerusi perkongsian yang sama.

Menurutnya, Bahagian Pendidikan Menengah MARA juga akan bertanggungjawab menyediakan garis panduan secara terperinci dan jelas berkenaan terma-terma rujukan (TOR) dan bidang tugas warden yang bakal dilantik.
“Inisiatif ini penting untuk memastikan pembangunan sahsiah, disiplin dan akhlak pelajar-pelajar MRSM sentiasa dapat diperkasakan seiring dengan falsafah pendidikan yang mahu melahirkan generasi yang cemerlang secara holistik dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” jelasnya.
“Ini juga bagi memastikan matlamat MARA untuk ‘SIFAR BULI’ di MRSM benar-benar mampu direalisasikan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, keputusan ini turut mendapat sokongan yang positif daripada masyarakat, terutamanya dalam kalangan ibu bapa dan alumni MRSM, yang melihatnya sebagai langkah terbaik untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
Projek ini bukan sahaja memberi peluang kepada bekas pegawai tentera dan polis untuk berkhidmat semula, tetapi membuka peluang untuk mereka memberikan impak positif kepada generasi muda serta menunjukkan komitmen MARA dalam memastikan suasana yang kondusif bagi pelajar MRSM berkembang dengan penuh potensi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.