Larian ‘Add Hope Run – Stop Hunger’ Gegarkan Bandar Putrajaya!

Share

Sebagai sebuah jenama paling popular dalam negara, KFC Malaysia sentiasa peka dengan peranannya sebagai badan korporat bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik. Bertempat di Putrajaya semalam, mereka telah menganjurkan program larian ‘Add Hope Run – Stop Hunger’. Ia juga merupakan acara penutup bagi jempen ‘Add Hope KFC 2017’.

Apa yang menakjubkan, pada kali ini mereka telah mencatatkan kutipan tertinggi dengan jumlah sebanyak RM 4.2 juta!

Jumlah kutipan tersebut diumumkan oleh Yang Berhormat Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Berhad (QSR Brands), pada kemuncak acara.

Hadir bercemar duli iaitu Penaung Diraja Add Hope Malaysia, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor. Dan turut serta menghulurkan sokongan adalah Yang Mulia Che’ Puan Khaleeda Binti Bustamam.

“Program ini merupakan satu perjalanan jangka panjang. Justeru, ia menuntut kerjasama semua pihak untuk sama-sama mencipta perubahan. Ucapan terima kasih sahaja tidak cukup untuk menyatakan penghargaan kepada kemurahan hati rakyat Malaysia ini. Kerana sumbangan anda, kami dapat menyalurkan sumbangan. Marilah kita sama-sama meneruskan perjuangan bersama KFC Malaysia dan meningkatkan lagi inisiatif ini ke tahap lebih besar pada tahun-tahun akan datang untuk menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” jelas Dato’ Kamaruzzaman.

Juara AJL ke-32, Hael Husaini turut hadir menghiburkan peserta dan pengunjung Add Hope Run – Stop Hunger

 

Inisiatif tahunan ini mula mengumpul dana sejak dilancarkan pada Jun 2017. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, dana dikumpul melalui penjualan set hidangan Add Hope KFC, platform derma atas talian, serta tabung derma yang ditempatkan di semua restoran KFC.

Sebagai satu usaha berterusan bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai masalah kebuluran dan kemiskinan dunia, larian amal ‘Add Hope Run – Stop Hunger’ turut dianjurkan bersempena penutupan kempen untuk tahun tersebut. Bersesuaian dengan tema ‘Empowering Juniors, Inspiring Change’, acara ini bermatlamat menyemai nilai murni dan memberi kesedaran awal kepada golongan muda.

Larian yang dianjurkan buat julung kali ini menyaksikan lebih 2,500 peserta muda melangkah bersama KFC Malaysia sekaligus menjadi penggerak muda bagi misi kemasyarakatan ini.

“Kami percaya bahawa generasi muda memainkan peranan penting di dalam masyarakat ke arah membentuk dunia yang lebih baik. Oleh itu, sebagai ibu bapa dan penjaga, kita harus menyemai nilai-nilai murni serta memberi pendidikan dan pendedahan awal supaya generasi seterusnya lebih prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik terutama isu kemanusiaan termasuk kebuluran. Dan pada hari ini, kami mengambil pendekatan untuk mengajak golongan cilik ini untuk turut serta meningkatkan kesedaran terhadap usaha ini,” kata Dato’ Kamaruzzaman lagi.

Hadir sama, Encik Carlos Melendez, Ketua Depot Respon Kemanusiaan PBB bagi Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); Madelene Sachi, Ketua Pegawai Perundangan KFC Asia & Pizza Hut Asia Pasifik; serta jurucakap kempen, Scha Alyahya.

Jemputan khas yang hadir adalah wakil badan bukan kerajaan (NGO), penghuni rumah kebajikan, barisan pengurusan KFC Malaysia serta diserikan oleh persembahan daripada selebriti tempatan.

Sebahagian besar hasil kutipan bakal disalurkan ke seluruh Malaysia melalui kerjasama erat KFC bersama pelbagai badan bukan kerajaan dan organisasi tempatan kepada golongan miskin tegar, gelandangan dan mereka yang kurang berkemampuan secara lebih efektif.

Sebahagian lagi kutipan akan disalurkan kepada Program Makanan Sedunia PBB untuk membantu individu kurang bernasib baik serata dunia akibat kebuluran.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim