Arena sukan menjadi satu lokasi yang menyatukan seluruh dunia. Dengan semangat yang dibawa, persaingan sihat adalah perkara yang menjadikan atlet seseorang yang berwibawa. Baru-baru ini dunia sukan menjadi sedikit ‘kecoh’ apabila atlet angkat berat transgender New Zealand telah disahkan boleh bertanding di dalam kategori wanita Sukan Oimpik Tokyo yang bakal berlangsung tahun ini.
Laurel Hubbard dilahirkan sebagai seorang lelaki dengan nama Gavin Hubbard memulakan proses penukaran jantina pada tahun 2013. Pada tahun 2015 dia mendapat kelulusan untuk bertanding dalam sukan Olimpik oleh IOC setelah badan tersebut mengeluarkan garis panduan yang atlet transgender yang bertanding harus memastikan tahap hormon testosteron mereka kurang dari 10 nanomoles per liter sukurang-kurangnya 12 bulan sebelum pertandingan.
Walaupun dia mendapat kelulusan badan antarabangsa, kehadirannya dalam sukan wanita tidak disenangi oleh atlet lain. Sebaik sahaja berita dia layak ke sukan Olimpik Tokyo, atlet angkat berat wanita German, Anna Vanbellinghen menganggap situasi ini sebagai tidak adil dan ia merupakan ‘lawak’ yang sangat teruk.
Dalam laporan reuters, Anna berkata, “Sesiapa yang telah melatih angkat berat pada tahap tinggi tahu bahawa ini benar dalam hati mereka. Keadaan ini tidak adil untuk sukan dan atlet itu sendiri. Peluang untuk mengubah hidup terlepas untuk beberapa atlet. Pingat dan kelayakan Olimpik, dan kami tidak memiliki kuasa.”
Ini bukan pertama kali atlet New Zealand ini berdepan kecaman, ketika penyertaannya dalam sukan Komanwel 2018, Pertubuhan Angkat Berat Australia menjuang untuk menghalang penyertaannya dalam kategori wanita, namun usaha itu tidak dilayan oleh pengajur dan membenarkan Laurel untuk bertanding.
Pada Sukan Olimpik Tokyo nanti wanita transgender berusia 43 tahun ini akan bertanding dalam sukan angkat berat kategori 87 kilogram ke atas.