Lawak Lucah Boleh Bertukar Jadi Kes Rogol Jika Tak Dibendung – Pandelela Rinong

Share

 

Di sana-sini, ramai memperkatakan mengenai insiden temubual yang seharusnya berlaku apatah lagi dtayangkan untuk tontonan umum di televisyen tempatan baru-baru ini.

Ia membabitkan topik adegan rogol yang kembali diceritakan (secara terperinci) oleh pelakon filem Anak Halal, Fauzi Nawawi semasa dia memenuhi undangan sebagai panel jemputan di sebuah program temubual tempatan.

Apa yang menjadikan insiden tersebut lebih mengecewakan adalah apabila ia membabitkan lima orang selebriti lelaki berpangkat senior dalam industri seni namun tiada seorang pun yang terfikir untuk menghentikan perbualan yang tidak menyenangkan itu.

BACA LAGI : Meningkatnya Solidariti Selebriti Malaysia Tolak ‘Bahan Lawak Lucah’ – REMAJA

Topik lucah yang dijadikan sebagai bahan lawak ini sebenarnya bukanlah satu perkara baharu yang menular dalam industri seni.

Bak kata pelakon filem My Stupid Boss, penulis dan penerbit berbakat Sharmaine Othman sendiri setelah isu ini meluas diperkatakan semalam, ramai saja penggiat seni lelaki yang memandang soal kehormatan wanita tercalar ini dengan remeh sama ada apabila bertemu empat mata ataupun dalam aplikasi atas talian seperti ‘group chat’.

*

Sebenarnya, isu yang sama terjadi di merata industri dan bukan dalam bidang seni kreatif saja.

Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong merupakan salah seorang wanita muda yang lantang memperkatakan isu ini secara terbuka setiap kali timbulnya insiden seperti ini. Pandelelas tidak gentar untuk bercerita daripada pengalamannya sendiri dengan niat agar ia tidak berlaku kepada atlet-atlet junior di luar sana yang ikhlas berkecimpung dalam bidang sukan demi mengharumkan nama negara.

ARTIKEL BERKAITAN : Ratu Terjun Negara, Pandelela Rinong Terima Gelaran Datuk – REMAJA

Catatnya menerusi ciapan pagi ini di Twitter, Pandelela berkata, “Dulu saya ada seorang jurulatih ini suka buat lawak lucah. Saya buat diam saja, tak pun ‘fake laugh’ sebab takutkan dia. Pernah sekali (saya) tak tahan saya tegur dia, tapi (saya) kena buli balik. Tujuh tahun kemudian, dia terlibat dengan kes rogol.

Sumber Foto : Instagram @pandelela

“Paling sedih (adalah) dalam tujuh tahun itu, dia buat hal pada setiap tahun. Tapi kami (sebagai) atlet tidak boleh buat apa. Sebab ‘backup besar’ dia adalah ketua jurulatih kami sendiri.

“Pengajarannya, kita perlukan seorang ketua yang bagus yang boleh memperbetulkan kesalahan dan bukannya menutup sebelah mata kepada perbuatan keji. Mereka yang terkesan juga jangan mendiamkan diri. Suara kecil kita akan berkesan jika kita bersatu hati. (Apapun) kami bertuah kerana dilindungi oleh persatuan sukan yang menjaga kami sebaik mungkin,” catatnya.

Ciapan tersebut menarik perhatian Menteri Kesihatan Negara yang juga merangkap bekas Menteri Belia dan Sukan pada waktu kejadian iaitu YB Khairy Jamaluddin.

“Terima kasih kerana berani bercakap, Lela. Masih ada wartawan sukan yang mengkritik keputusan kami untuk mengubah struktur sukan terjun setelah menerima dakwaan beberapa tahun lalu. Saya masih akan membuat keputusan yang sama setiap kali jika ini terjadi.

“Keselamatan atlet daripada serangan fizikal dan serangan mental adalah jauh lebih penting daripada pingat yang dimenangi,” kata KJ.

Twitter

Terdahulu semasa kes membabitkan seorang pelajar sekolah menengah bernama Ain Husniza dan seorang guru lelaki yang menggunakan topik rogol sebagai gurauan dalam bilik darjah, Pandelela turut tampil ke hadapan untuk bersuara agar lebih ramai mangsa remaja perempuan yang berani ke hadapan dan melaporkan kejadian sebegini kepada pihak berkuasa.

ARTIKEL BERKAITAN : Pandelela Faham Isu Gangguan Dihadapi Ain, Dunia Sukan Pun Ada – REMAJA

Sesungguhnya, kita memerlukan lebih ramai figura muda seperti Pandelela Rinong tidak kiralah lelaki mahupun perempuan untuk terus-menerus membuka minda remaja Malaysia akan realiti kehidupan dan meminta mereka berani bersuara. Gunakan platform dan populariti kalian untuk mengubah landskap pemikiran di Malaysia.

Published by
FZ