Penyanyi K-Pop, Leeteuk Super Junior mengeluarkan satu kenyataan yang mengejutkan para peminat apabila beliau meluahkan perasaan mengenai pandangannya tentang industri hiburan Korea Selatan menerusi sebuah siaran langsung di Youtube baru-baru ini.
Dalam siaran yang dilakukan selama 90 minit itu, Leeteuk atau nama sebenarnya Park Jeong Su (41) mengungkapkan alasan mengapa dirinya lebih gemar dan seronok untuk melakukan promosi di luar negara berbanding negara kelahirannya sendiri.
Menurut ketua kumpulan Super Junior itu, hal tersebut bukan sesuatu yang baru dan secara peribadi Leeteuk merasakan bahawa pasaran di Korea kadangkala boleh menjadi tempat yang menakutkan buat dirinya sebagai seorang idol yang telah berkecimpung dalam industri selama 20 tahun.
“Saya rasa lebih selesa untuk tampil di konsert atau mana-mana acara solo di negara-negara Asia yang lain. Kalau saya perlu tampil secara solo di acara muzik Korea, saya boleh bayang macam mana rasanya ditolak,” ungkapnya menerusi siaran langsung tersebut.
Meskipun begitu, pelantun lagu ‘Sorry Sorry’ itu juga menegaskan bahawa tidak membenci negara Korea Selatan. Namun, disebabkan pengalaman masa lalu membuatkan dirinya merasa lebih tenang dalam menjalani kehidupan sederhana dan jauh dari perhatian yang berlebihan.
“Saya tak benci Korea sebab saya ini orang Korea tapi mungkin sebab itu juga saya rasa kurang nyaman. Saya takut kritik atau pandangan negatif orang seperti ‘Kenapa dia masih ada di acara muzik?’ padahal saya cuma mahu orang ramai menghargai dan melihat usaha saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Leeteuk turut berkata bahawa rasa takut ini cenderung membuatkan dirinya menjaga jarak dengan orang lain dan memilih untuk lebih tenang.
“Saya rasa macam sebaiknya saya tak lakukan apa pun, tak jumpa sesiapa pun. Saya kadangkala hanya mahu main golf dan terus balik,” katanya.
Sementara itu, Leeteuk menyedari bahawa rasa takut itu mungkin mula tumbuh seiring bertambahnya usia dan disebabkan itu beliau mahu menjalani hidup damai tanpa tekanan.
Sekadar info, Leeteuk merupakan salah seorang anggota kumpulan Super Junior yang mula menapak sebagai salah satu kumpulan K-Pop sensasi pada tahun 2005. Beliau juga aktif sebagai seorang pelakon, pengacara, dan personaliti televisyen dan radio.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.