Pengumuman khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi amat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia. Ini berikutan kadar vaksinasi individu dewasa tempatan yang telah lengkap menerima vaksin telahpun mencapai 90 peratus pada hari ini.
Satu-satunya pengumuman yang paling korang nantikan adalah kebenaran untuk merentas negeri. Dan seperti yang dijanjikan oleh kerajaan, kebenaran tersebut akan dikuat kuasakan bermula esok; 11 Oktober 2021. Kebenaran ini akhirnya diberikan selepas kira-kira sembilan bulan rakyat dilarang merentas negeri demi melandaikan jumlah kes positif COVID-19.
“Data terkini yang dikemaskini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini.
“Maka dengan ini, saya mengumumkan bahawa dengan kadar 90 peratus vaksinasi lengkap dua dos bagi kumpulan dewasan, maka rentas negeri dibenarkan oleh pihak kerajaan.
“Jadi, esok bebaslah dan inilah yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat,” jelasnya sambil mengingatkan bahawa Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) masih lagi dikuatkuasakan. Ini bermakna, mereka yang melangggar prosedur operasi standard (SOP) masih akan dikenakan tindakan.
Kebenaran rentas negeri bukan saja membolehkan rakyat untuk pulang ke kampung halaman. Ia juga membolehkan aktiviti merentas negeri demi aktiviti pelancongan.
NAMUN, aktiviti rentas negeri ini tidak terpakai untuk lokaliti yang telah diisytiharkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Walaupun tiada sekatan khusus untuk menyekat rentas negeri, pihak polis masih boleh membuat pemeriksaan secara rawak di mana saja; mungkin sewaktu berada di kawasan Rehat dan Rawat (RnR).
“(Selain itu), Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Benteng masih diteruskan dan pihak polis boleh membuat pemeriksaan terhadap MySejahtera walaupun tiada SJR khusus untuk tujuan rentas negeri,” tambahnya lagi.
Kesesakan di lebuh raya seluruh negara seperti biasa dijangka akan menerima pertambahan trafik harian kerana semua orang sudah lama menginginkan peluang untuk pulang ke kampung halaman atau melancong bagi melepaskan tekanan.
Plus Malaysia Berhad (Plus) menganggarkan peningkatan hingga 1.3 juta kenderaan setiap hari manakala Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) pula menjangkakan pertambahan trafik antara 38,000 sehingga 45,000 kenderaan sehari.
Syarikat konsesi lebuh raya seluruh negara telah bersiap sedia untuk waktu ini. Setiap hentian RnR sentiasa dibersihkan mengikut jadual ketat. Yang penting, pengguna tidak mengabaikan SOP seperti mengimbas aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal.
Perjalanan Ke Luar Negara
Pada masa yang sama, rakyat tertanya-tanya sekiranya perjalanan ke luar negara telah dibenarkan bermula esok. Kata Perdana Menteri, kerajaan bersetuju membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui My travel Pass Jabatan Imigresen Malaysia.
Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang ke luar negara masih wajib menjalani kuarantin setelah pulang ke tanah air.
Jadi, rancanglah perjalanan korang dengan bijak selepas ini dan jangan lupakan SOP yang ditetapkan.