
Walaupun filem terbarunya yang bernilai 50 bilion Won ‘Ask the Stars’ kurang menyerlah di layar perak, pelakon Lee Min-ho tetap membuktikan dirinya sebagai ‘King of Hallyu’ sejati apabila dinobatkan sebagai pelakon Korea paling dicintai oleh peminat di seluruh dunia selama 12 tahun berturut-turut.
Menurut laporan ‘2025 Overseas Korean Wave Survey’ (per 2024) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea bersama Agensi Promosi Pertukaran Budaya Antarabangsa Korea, populariti Lee Min Ho tidak pernah surut sehingga hari ini.
Apa yang lebih menarik, pelakon kacak itu turut meraih tempat pertama dalam kategori pelakon dengan angka populariti yang mengagumkan di 28 negara seluruh dunia, termasuk dari benua Asia, Eropah, Amerika, Timur Tengah hingga ke Afrika.


Sejak kajian ini dimulakan pada tahun 2014, Lee Min Ho yang popular menerusi drama Boys Over Flower itu kekal di takhta selama lebih sedekad dan menewaskan nama-nama bintang besar Korea lain dengan kelebihan yang luar biasa.
Nama beliau bukan sahaja hangat di beberapa negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand tetapi pengaruhnya juga meletup di negara-negara Timur Tengah seperti UAE dan Arab Saudi, malah sampai ke Mesir dan benua Afrika sekaligus membuktikan pelakon drama ‘The King: Eternal Monarch’ dan ‘Pachinko’ ni memang luar biasa.
Dalam pada itu, selain bergelar pelakon, beliau juga dikenali sebagai lifestyle icon dan menjadi wajah utama kepada lebih 100 jenama antarabangsa. Dari fesyen ke kecantikan, automotif dan gaya hidup.


Kehadirannya yang aktif di media sosial pun terus mencuri perhatian peminat dari pelbagai negara, menjadikan Lee Min Ho kekal relevan sebagai ‘top trend’ setiap masa.
Untuk perkembangan terkini, Lee Min Ho bakal muncul dalam adaptasi novel web terkenal ‘Omniscient Reader’s Viewpoint’ yang diarahkan oleh Kim Byung-woo.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.