
Meskipun bergelut dengan masalah pendengaran sejak kecil, ia tidak menjadi penghalang buat Lee Wan Lin iaitu pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Ave Maria Convent, Ipoh untuk meraih keputusan cemerlang 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang rasmi diumumkan pada Khamis, semalam.
Walaupun pelajar yang kini berusia 18 tahun itu terpaksa bergantung kepada alat bantuan pendengaran ketika sesi pembelajaran di dalam kelas, beliau tetap berusaha belajar bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan.
“Saya akui agak sukar menggunakan hearing aid dan ketika peperiksaan saya tidak memakainya. Tapi dalam kelas saya akan pakai sebab duduk di bahagian tengah supaya boleh dengar dengan jelas. Kalau tak faham, saya akan terus jumpa cikgu,” katanya.
Menurut Wan Lin, antara rahsia kejayaannya ialah usaha, konsisten, fokus dan sokongan padu dari cikgu dan kawan-kawan yang sentiasa membantu.
“Saya suka buat nota sendiri dan akan tanya cikgu berulang kali jika tak faham”
“Kawan-kawan juga banyak bantu saya terutama bila saya tak dengar dengan jelas apa yang cikgu ajar,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa dirinya memilih pendekatan yang lebih seimbang iaitu dengan belajar tiga hingga empat jam sehari dan selebihnya meluangkan masa dengan menonton drama, membaca novel, dan bermain game bagi menenangkan minda.
Sungguhpun subjek Bahasa Cina menjadi subjek paling sukar, gadis ini tetap berusaha keras sehingga berjaya skor keseluruhan 5A, 4A dan 1A-.
“Saya sasarkan 9A sahaja, tak sangka dapat 10A. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana berjaya seperti kawan-kawan lain,” ujarnya teruja.
Sementara itu, anak sulung daripada dua beradik itu kini tinggal bersama neneknya di Ipoh juga bercita-cita ingin melanjutkan pengajian dalam bidang farmasi, pergigian atau perubatan di universiti tempatan.
Sumber artikel & foto: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.