
Baru-baru ini, berita duka menyelubungi tanah air apabila legenda berbasikal negara, Saharudin Jaffar dikhabarkan telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun petang Selasa, semalam.
Menurut laporan Bernama, pemergian beliau disahkan sendiri oleh anak sulung Allahyarham, Suhaimi Saharudin (55) yang memaklumkan bapanya mengalami komplikasi ketika menjalani rawatan dialisis pada 18 Mac.
“Ayah pergi menjalani rawatan dialisis macam biasa sekitar jam 9 atau 10 pagi tapi sampai dekat sana macam sudah pengsan, jadi jururawat terus panggil ambulans dan bawa ke Hospital Shah Alam”
“Bila sampai doktor kata jantung ayah sudah berhenti dan bila cuba pakai alat bantuan pernafasan semua pun tak boleh sedarkan dan ayah pergi sekitar jam 2.17 petang,” katanya.
Dalam pada itu, Suhaimi mengakui pemergian bapanya yang pernah mencipta sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) 1965 memberikan kesan mendalam.


Lebih lagi apabila ulang tahun perkahwinan ibu dan bapanya yang ke-58 sepatutnya disambut pada 19 Mac, hari ini.
“Ibu saya, Hasmah Ibrahim kini sudah berusia 81 tahun. Sebelum ini, ayah walaupun sudah berusia tetap berpuasa, bersenam dan gemar berkebun. Namun, masalah dialisis kalau terlampau haus tak elok untuk buah pinggang,” jelasnya.
Sementara itu, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Surau Seksyen 8 Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada Rabu.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.