Sukan

Legenda Berbasikal Negara, Saharudin Jaffar Meninggal Dunia Pada Usia 84 Tahun

Share

Baru-baru ini, berita duka menyelubungi tanah air apabila legenda berbasikal negara, Saharudin Jaffar dikhabarkan telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun petang Selasa, semalam.

Menurut laporan Bernama, pemergian beliau disahkan sendiri oleh anak sulung Allahyarham, Suhaimi Saharudin (55) yang memaklumkan bapanya mengalami komplikasi ketika menjalani rawatan dialisis pada 18 Mac.

“Ayah pergi menjalani rawatan dialisis macam biasa sekitar jam 9 atau 10 pagi tapi sampai dekat sana macam sudah pengsan, jadi jururawat terus panggil ambulans dan bawa ke Hospital Shah Alam”

“Bila sampai doktor kata jantung ayah sudah berhenti dan bila cuba pakai alat bantuan pernafasan semua pun tak boleh sedarkan dan ayah pergi sekitar jam 2.17 petang,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi mengakui pemergian bapanya yang pernah mencipta sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) 1965 memberikan kesan mendalam.

Shaharudin Jaffar menunggang emas pada Sukan SEAP 1965 (Kredit: Free Malaysia Today)
Shaharudin Jaffar (tengah), bersama Daud Ibrahim, AB Rahim, AS Fazil dan Omar Saad, pasukan berbasikal Malaysia di Sukan Olimpik Munich pada 1972 (Kredit: Free Malaysia Today)

Lebih lagi apabila ulang tahun perkahwinan ibu dan bapanya yang ke-58 sepatutnya disambut pada 19 Mac, hari ini.

“Ibu saya, Hasmah Ibrahim kini sudah berusia 81 tahun. Sebelum ini, ayah walaupun sudah berusia tetap berpuasa, bersenam dan gemar berkebun. Namun, masalah dialisis kalau terlampau haus tak elok untuk buah pinggang,” jelasnya.

Sementara itu, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Surau Seksyen 8 Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada Rabu.

Sumber: Bernama

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE