Ratu Rock ‘n’ Roll, Tina Turner meninggal dunia pada usia 83 tahun di Küsnacht, Zurich, Switzerland, pada Rabu.
Berita duka mengenai pemergian penyanyi popular era 1980-an yang pernah popular di seluruh dunia dengan lagu What’s Love Got To Do With It dan The Best itu diumumkan melalui laman media sosial rasmi miliknya, termasuk di Facebook dan Instagram.
“Dengan dukacitanya kami mengumumkan pemergian Tina Turner. Melalui muzik dan semangatnya terhadap kehidupan, beliau telah memukau berjuta peminat di seluruh dunia dan memberi inspirasi kepada bintang-bintang masa hadapan.
ARTIKEL BERKAITAN: Juri MasterChef Australia, Jock Zonfrillo Meninggal Dunia Pada Usia 46 Tahun
“Hari ini kita mengucapkan selamat tinggal kepada seorang sahabat yang meninggalkan karya terbesarnya kepada kita semua iaitu muziknya. Takziah kepada keluarganya. Tina, kami akan merindui anda,” jelas di media sosial mendiang.
Punca kematian Tina tidak dinyatakan namun difahamkan, beliau sebelum ini mempunyai masalah kesihatan dan tidak lagi aktif dalam bidang muzik selepas tahun 2009.
Sekadar informasi, Tina atau nama sebenarnya Anna Mae Bullock dilahirkan di Brownsville, Tennessee, Amerika Syarikat (AS) pada 26 November 1939.
Kerjaya muziknya bermula pada tahun 1957 bersama kumpulan Kings of Rhythm yang ditubuhkan bekas suaminya, Ike Turner.
Pada 1984, album Private Dancer yang mengandungi lagu hit What’s Love Got To Do With It memenangi Anugerah Grammy bagi kategori Album Terbaik dan lagu itu merupakan yang pertama dan satu-satunya yang menduduki tempat pertama dalam Billboard Hot 100.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.