Menunaikan solat di Masjidil Haram merupakan antara impian dan pengalaman yang diidamkan oleh seluruh umat Islam di dunia. Tambahan pula, di bulan Ramadan ini ramai yang mengambil kesempatan untuk mengambil keberkatan bersolat di tanah suci itu.
Walau bagaimanapun, ekoran daripada situasi pandemik COVID-19, ibadah Haji dan Umrah telah pun dihadkan kerana tidak mahu virus itu terus menular di negara Arab Saudi.
Istimewanya bagi individu yang menetap disana, mereka mendapat kelebihan untuk menunaikan solat Jemaah dan tarawih di tanah haram. Seperti yang telah dikongsi oleh Kashful Azim Shaharuddin, baru-baru ini dia berkesempatan menunaikan solat tarawih di sana.
Menurutnya lagi ini merupakan kali pertama solat tarawih di Masjidil Haram Mekah dan Masjid Nabawi Madinah dibuka kepada orang awam semenjak wabak COVID-19 melanda. Tahun lepas hanya para petugas dua masjid ini sahaja yang dibenarkan untuk solat di sini sepanjang bulan puasa.
Namun, ada beberapa arahan baru yang telah dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi melibatkan SOP di masjid-masjid sepanjang Ramadan dan ia harus diikuti semua Jemaah. Antara arahan yang dikeluarkan adalah jemaah umrah serta jemaah yang ingin menunaikan solat di Masjidil Haram Mekah dan Masjid Nabawi Madinah mestilah dari salah satu golongan yang sudah mendapat suntikan vaksin lengkap dua dos atau minima 14 hari selepas menerima dos pertama atau mereka yang sudah sembuh dari jangkitan COVID-19. Kanak-kanak juga tidak dibenarkan masuk ke dua masjid utama ini buat masa sekarang.
Sekiranya didapati melanggar peraturan ini, individu tersebut boleh dikenakan hukuman berupa wang berjumlah SR10,000 bagi sesiapa yang mengerjakan umrah tanpa permit dan denda SR1000 bagi sesiapa yang mencuba masuk untuk solat di Masjidil Haram Mekah tanpa permit.
Jom kita ikuti perjalanan Kashful Azim yang telah dikongsi di laman Facebooknya.
Dengan berbekalkan sebuah beg berpakaian ringkas, lelaki itu bertolak dan berdoa supaya dapat solat di dalam masjid bermula waktu Maghrib sehingga Witir malam nanti walaupun telah ada permit solat. Ini kerana di Arab Saudi ni, memang akan ada sesuatu yang akan berlaku last minit sehingga boleh menyebabkan kelancaran perjalanan terganggu. Kena banyak berdoa sikit kalau nak selamat.
Disebabkan Azim dari Madinah, dia telah menempah tiket keretapi laju pergi dan balik. Keretapi Laju Haramain ni baru dibuka semula perkhidmatannya sebelum Ramadhan pada 31 Mac lalu. Harga sehala untuk Business Class adalah SR287.50 dan harga untuk Economy Class adalah SR172.50. Tiket boleh ditempah di webnya.
Setibanya di Masjidil Haram, ada beberapa perkara yang diberitahu oleh polis disana tentang syarat dan kawalan jika hendak solat di masjid tersebut. antaranya adalah seperti berikut:
1. Bagi yang tinggal di hotel/rumah yang jauh dari Masjidil Haram dan ingin ke Masjidil Haram, korang perlu menaiki bas dari checkpoint Kudai atau checkpoint Shisha. Perlu bayar SR20 tambang bas pergi balik atau percuma ikut rezeki hari tersebut.
2. Solat hanya dilaksanakan di bangunan extension di Pintu Malik Abdullah. Hanya mereka yang melaksanakan umrah sahaja boleh masuk ikut pintu Malik Abdul Aziz di hadapan Menara jam.
Alhamdulillah dapat rezeki menunaikan solat tarawih di Masjidil Haram sewaktu pandemik ini. Bukan semua orang berpeluang menjejakkan kaki di tanah haram ketika ini dan peluang yang saudara Azim dapat ini mungkin adalah sebahagian daripada rezeki besar yang telah diberikan oleh Allah SWT.
Marilah kita sama-sama berdoa agar situasi pandemik COVID-19 ini pulih dan kita semua berpeluang lagi menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah. InsyaAllah.
Sumber: Kashful Azim Shaharuddin