Leong Mun Yee Ingin Hadiahkan ‘Merchandise’ Olimpik Kepada Peminat Bertuah

Share

Isi Kandungan

Toggle

 

Pastinya ramai akan berebut untuk memiliki merchandise istimewa daripada Tokyo ini.

 

Mana-mana atlet Malaysia pastinya mengimpikan peluang untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik. Kalau boleh mendapatkan sekali saja pengalaman beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu pun sudah mencukupi.

Siapa sangka dalam kalangan delagasi atlet Malaysia di Tokyo 2020 pada kali ini, ada seorang di antara mereka yang telah bergelar ‘Olympian’ sebanyak LIMA kali! Insan istimewa ini tidak lain tidak bukan ialah penerjun negara, Leong Mun Yee.

Mun Yee sewaktu sesi latihan di pusat akuatik Sukan Olimpik Tokyo 2020. Sumber Foto : Instagram @leong_munyee

Sejak melakukan penampilan kali pertama di pentas Olimpik semasa edisi Sydney 2000, Leong Mun Yee yang pada waktu itu berusia 15 tahun tidak lagi menoleh ke belakang dan terus melakukan yang terbaik ketika membawa nama negara di Sukan Olimpik Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.

Di antara kejayaan manis yang diperolehi Mun Yee sepanjang karier selaku penerjun kebangsaan adalah ketika memenangi pingat perak dan gangsa

di Kejohanan Terjun Dunia FINA pada tahun 2009, 2013 dan 2019 bersama  pasangan penerjunnya, Pandelela Rinong dalam acara 10m platform wanita seirama.

Kejayaan memenangi dua pingat emas di laman sendiri semasa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 juga akan diingati Mun Yee sampai bila-bila. Dan akhir sekali, pengalaman menyertai Sukan Olimpik kelimanya di Tokyo 2020 akan berbekas dalam hati Mun Yee memandangkan ini merupakan penampilan terakhirnya di temasya ini.

Setelah selamat pulang ke Malaysia dan kini dikuarantin selama dua minggu, banyak perkara yang ingin dilakukan oleh Mun Yee selepas ini. Dalam temubual bersama penyampai radio Hitz, Mun Yee berkongsi beberapa perkara tersebut kepada semua peminatnya yang menggelar diri mereka sebagai Angelhearts.

 

01

Ya, Angelhearts ialah nama rasmi para peminat Mun Yee. Comel kan! Ia baru saja dicipta sewaktu Sukan Olimpik kali ini dan berasal daripada nama Inggerisnya iaitu Angel. “Sebaik saja tamatkan acara 10m platform seirama di Tokyo 2020, saya mendapat begitu banyak mesej dan ucapan mengharukan daripada rakyat Malaysia.”

Sumber Foto : Instagram @leong_munyee

“Saya berbangga setiap kali dapat mewakili anda semua. Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih dan teruskan menyokong atlet Malaysia lain yang bertarung.”

 

02

Seperti yang dipertontonkan Mun Yee menerusi akaun TikTok dan Instagram-nya, dia semakin aktif menari malah berbakat pula dalam tarian jenis shuffle

. Siapa sangka, rupa-rupanya Mun Yee baru saja mempelajari teknik shuffling semasa kuarantin tempoh hari.

“Atlet terjun perlu menjalani latihan kuarantin di rumah sebagai persediaan berdepan Sukan Olimpik. Dalam bosan-bosan duduk di rumah, saya saja-saja belajar shuffling. Pada awalnya, memang teruk! (ketawa) Semakin lama, saya mula mendapat rentak.”

Dengar cerita, Mun Yee turut mengajar teknik shuffling kepada anak saudaranya yang juga merupakan seorang atlet renang.

03

Sepanjang tempoh dua minggu kuarantin ini, Mun Yee bercadang untuk menonton aksi terjun lain di Sukan Olimpik. Setelah tamat kuarantin pula, anak jati Perak ini merancang bertemu keluarganya setelah setahun tidak bersua muka.

 

04

Menerusi Instagram, Mun Yee pernah berkata dia ingin menghadiahkan beberapa merchandise dari Tokyo 2020 kepada peminatnya.

Sumber Foto : Instagram @leong_munyee

“Antara merchandise Olimpik yang ada pada saya (namun kini telah diserahkan kepada keluarganya buat sementara waktu) adalah baju T rasmi Jepun (berjenama Asics), keychain dan anak patung maskot Tokyo 2020. Malah, ada yang meminta saya menghadiahkan pelitup muka kain yang diberikan kepada atlet Malaysia.”

Kongsi Mun Yee, setiap atlet menerima hanya lima keping pelitup muka berwarna pic yang tertera padanya Jalur Gemilang; dan dia tidak mempunyai masalah untuk mengagihkannya kepada peminat bertuah.

 

05

Bercakap mengenai masa hadapannya, Mun Yee bercita-cita untuk membuka sebuah akademi latihan terjun bagi menggalakkan lebih ramai kanak-kanak menyertainya pada usia muda. “Sukan terjun bukanlah sukan yang mudah. Ia memerlukan proses bertahun-tahun sebelum seorang atlet mampu mahir dalam teknik terjunan. Jadi saya berharap lebih ramai kanak-kanak berminat menyertai sukan terjun pada usia muda agar mereka boleh mewakili negara satu hari nanti.”

Sumber Foto : Instagram @leong_munyee

TERIMA KASIH Leong Mun Yee di atas jasa, pengorbanan dan sumbangan anda kepada Malaysia selama ini sebagai seorang wirawati negara. We love you!

ARTIKEL BERKAITAN : Selain Suka Tersenyum, Menarik Tentang Atlet Terjun Negara Dhabitah Sabri – REMAJA

Published by
FZ