Seakan tahu ajalnya semakin dekat, seorang remaja yang lemas ketika mandi berdekatan Jeti Nelayan Kampung Chodan, Segamat, Johor, Rafiq Afifi Rohaizat, 18 sempat menyatakan mahu berpindah ke Johor kepada rakan sekelasnya.
Arwah yang mengambil Diploma Program Perniagaan di Kolej Vokasional Bentong, sempat berkongsi niatnya itu sejurus selepas kelas berakhir pada Jumaat lalu.
Menurut rakan sekelas arwah, mereka semua tidak menyangka perbualan “mahu tinggal di Johor” itu menjadi kenyataan apabila mendapat tahu arwah lemas ketika mandi di sungai.
“Wajah arwah nampak tenang ketika mengucap hal itu. Dia kata nak pindah Johor. Dan bila kami tanya kenapa mahu pindah ke sana, katanya rumah makciknya ada di situ. Rupanya itulah maksud sebenar arwah dia ingin menetap di Johor buat selama-lamanya,” kata rakan sekelas mangsa Izzatul Firashah Hamdan, 18 saat dihubungi REMAJA.
Menyifatkan arwah sebagai seorang yang baik hati, sikapnya buat dirinya dikenali ramai.
“Memang sedih kerana tak menyangka kejadian ini berlaku. Kami semua yang mengenalinya begitu terkejut mendengar berita dirinya lemas. Masa arwah cakap nak pindah ke Johor, kami semua tak faham maksudnya. Ada yang siap bertanya, bukan ke ada setahun lagi nak habis Diploma, kenapa nak pindah tiba-tiba. Tapi arwah cakap nak pindah ke Johor dah lepas ini sebab ada rumah makciknya.
“Bila kejadian ini berlaku, kami sangat terkejut dan begitu sedih,” katanya memaklumkan, sebelum kejadian, arwah ada mengalami kemalangan motosikal.
“Arwah dapat surat cuti sakit dua hari iaitu pada hari Selasa dan Rabu. Hari Khamis dia dah masuk kelas. Luka di mukanya juga cepat kering. Hari Jumaat itulah kami berbual sebelum masing-masing bergerak balik. Arwah duduk menyewa di luar kerana tidak mendapat asrama,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, mengikut kisah yang dinyatakan oleh Wakil Rakyat kawasan terbabit, YB Dr Sulaiman Mohd Noor, di fbnya, pencarian selama dua hari dilakukan oleh pihak berkuasa berikutan kejadian lemas ini di mana arwah lemas pada hari Sabtu, 16 hb Mac.
Dalam catatannya beliau menulis, seorang remaja berusia 18 tahun lemas setelah dibawa arus sungai. Difahamkan mangsa bersama adiknya 16 tahun dan sepupunya 10 tahun ketika itu sedang bermandi. Dua lagi mangsa adik dan sepupunya dapat diselamatkan oleh bapa saudaranya yang kebetulan berada sama ketika itu. Menurut bapa saudara mangsa yang bernama Khairul Nizam Abd Rahman, beliau sempat menyelamatkan anak saudara mereka berusia 16 tahun dan anaknya sendiri 10 tahun namun Rafiq tidak sempat diselamatkan.
Biar pencarian dilakukan sehingga jam tujuh malam termasuk laungan azan dilakukan, penyambungan pencarian dilakukan hari berikutnya.
Alhamdulillah, sekitar jam 3.50 petang 200 meter dari lokasi Jeti Nelayan iaitu pada hari Ahad, mayat arwah ditemui semalam.
Malam semalam, jenazah Rafiq Afif Rohaizat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Tekam sekitar jam 9.00 malam. Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan di Jannah Allah bersama orang-orang beriman. Aamiin.