Sejak semalam kecoh berkaitan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun memandu kereta di Rembau, Negeri Sembilan. Ramai melihat tindakan undang-undang wajar dikenakan terhadap ibu bapa kanak-kanak terbabit kerana ia satu kesalahan serius mengajar anak di bawah usia memandu kenderaan yang hanya dibenarkan pada usia 18 tahun sahaja.
Kecekapan pihak polis yang bertindak mengeluarkan saman terhadap keluarga kanak-kanak tersebut boleh dijadikan satu pengajaran buat ibu bapa lain penguatkuasaan bukan isu mainan.
Namun tidak habis isu kanak-kanak memandu kereta, hari yang sama tular pula seorang kanak-kanak membawa lori trelar. Kejadian berlaku di Rantau, Negeri Sembilan.
Malam tadi, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim yang mengesahkan perkara tersebut memberitahu, hasil semakan lanjut mendapati kejadian itu berlaku di kawasan Rantau dekat sini.
“Satu laporan polis telah diterima berkaitan video yang tular itu kerana bapa kanak-kanak tersebut dengan cuai membiarkan anaknya di bawah umur memandu lori treler.
“Usaha untuk mengesan bapa dan kanak-kanak tersebut sedang giat dijalankan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Ads
Video berdurasi satu minit 18 saat yang memaparkan seorang kanak-kanak di bawah umur sedang memandu sebuah lori treler jenis HINO itu tular menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira pukul 4.41 petang semalam.
Ads
Dalam video tersebut, kelihatan kanak-kanak itu memandu ke hadapan dan mengundurkan treler sebelum meletakkan kenderaan berat itu di tempat parkir.
Wow, ini memang superb hebat kerana REMAJA percaya tidak ramai orang dewasa berani memandu trelar kecuali mempunyai lesen khas membawanya.
Ads
Ada lagi kes, kali ini bawa jengkaut pula
Belum habis isu kanak-kanak bawa trelar, timbul pula satu video dikongsikan oleh orang ramai menunjukkan seorang kanak-kanak berada di dalam kenderaan jengkaut dan berjaya menyodok tanah sebagai mana kerja orang dewasa lakukan. Dalam video berkenaan, bukan dirinya seorang tetapi ada lagi kanak-kanak kecil seperti mereka mempunyai pertalian adik beradik.
Walau tidak dipastikan kejadian itu berlaku di mana atau ia sebuah video lama tapi trend ini dikhuatiri akan mempengaruhi kanak-kanak lain bahawa mereka juga boleh buat.
Menjadi sebab untuk ibu bapa mengajar apa yang boleh dan tidak pada anak-anak khususnya pada kanak-kanak di bawah umur bahawa mereka hanya boleh melakukannya apabila usia mencecah 18 tahun apabila melibatkan sebuah jentera yang tidak selayaknya dibawa oleh kanak-kanak.
Seperti kata pepatah, anak-anak itu ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Jangan sesekali ibu bapa merasa bangga anak mereka mampu buat dan anak orang lain tidak mampu buat pada usia sebegitu kerana undang-undang dibentuk untuk dipatuhi, bukan dilanggar!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Semalam pasti ramai penggemar makanan laut dari Pantai Barat Semenanjung kecewa dengan berita kerang- kerangan dari kawasan Pantai Barat Semenanjungitu dicemari empat jenis logam berat. Bayangkanlah selama ini kita sedap makan kerang bakar, direbus pun sedap, lala masak sambal dan lain lagi tapi tiba-tiba dikatakan ada empat jenis logam berat di kawasan pantai tersebut!
Fuhh kalau makan jadi apa eh?
Akhbar arus perdana semalam melaporkan orang ramai dinasihati agar mengurangkan makanan bercengkerang terutama di kawasan Pantai Barat Semenanjung kerana berisiko dijangkiti penyakit akibat keracunan logam berat seperti arsenik, kadmium, plumbum dan merkuri yang banyak dikesan di kawasan muara sungai dan pelabuhan di sepanjang Selat Melaka.
Kerang antara spesis kerangan yang banyak diperoleh di Pantai Barat Semenanjung dan enak dimakan sama ada direbus mahupun dibakar
Pensyarah Kanan Program Biologi Marin, Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Ong Meng Chuan berkata menerusi kajian yang dijalankan pasukannya, pencemaran logam berat seperti arsenik, kadmium, plumbum dan merkuri banyak dikesan di kawasan muara sungai dan pelabuhan di sepanjang Selat Melaka.
Katanya antara kawasan yang dikesan berisiko menghadapi pencemaran logam berat itu adalah sekitar pelabuhan di perairan Johor, Pelabuhan Klang dan muara sungai di Pulau Pinang.
“Fenomena itu secara tidak langsung turut mencemari sumber makanan laut kerana sifat haiwan bercengkerang ini ia mendiami habitatnya dan tidak bergerak ke tempat lain secara tidak langsung, ia memperoleh sumber makanan daripada tempat ia tinggal.
“Jadi sudah tentu jika perairan itu dicemari logam-logam berat berkenaan, sudah pasti ia turut mencemari haiwan bercengkerang itu yang seterusnya dimakan oleh manusia,” katanya kepada Bernama.
Tak ada la parameter logam berat
Bagaimana pun isu ini pantas dijawap oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Haji Munir Mohd Nawi yang memberikan maklum balas dengan mengatakan mendapati tiada kes pelanggaran bacaan bagi parameter logam berat, berdasarkan kepada piawaian di bawah Akta Makanan 1983.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Haji Munir Mohd Nawi jawap isu tular semalam
Baca kenyataan di bawah ini.
Penggemar makanan laut bercengkerang terutama di kawasan Pantai Barat Semenanjung dinasihatkan mengurangkan pengambilan makanan jenis itu berikutan risiko dijangkiti penyakit akibat keracunan logam berat.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) ingin memberi maklumbalas berhubung penyiaran laporan media serta penularan isu di media sosial mengenai isu makanan laut bercengkerang di Selat Melaka dicemari logam berat.
Untuk makluman umum, Malaysia mengeluarkan tiga spesies kerang-kerangan yang utama iaitu kerang, kupang dan tiram. Data pengeluaran kerang terkini mencatatkan sebanyak 12,482 tan metrik diikuti dengan kupang sebanyak 2,274 tan metrik dan tiram sebanyak 1,402 tan metrik.
Sejak tahun 2013, DOF melaksanakan pemantauan keselamatan kerang-kerangan di Malaysia di bawah Program Sanitasi Kerang-Kerangan Kebangsaan (National Shellfish Sanitation Program – NSSP) yang melibatkan sampel kerang- kerangan ternakan dan liar.
Keputusan analisis pemantauan logam berat dalam sampel kerang-kerangan bagi Negeri Melaka (Sebatu), Johor (Air Baloi, Teluk Jawa dan Teluk Kabong) dan Pulau Pinang (Seberang Prai Selatan) mendapati tiada kes pelanggaran bacaan bagi parameter logam berat, berdasarkan kepada piawaian di bawah Akta Makanan 1983.
Bagi Negeri Selangor (Sungai Besar, Jeram dan Kapar) tidak mempunyai kes pelanggaran parameter plumbum dan merkuri, namun mempunyai pelanggaran bacaan parameter Kadmium bagi sampel kerang di Sungai Besar, Negeri Selangor pada akhir tahun lalu.
Sementara itu, melalui laporan akhbar semalam Pensyarah Kanan Program Biologi Marin, Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Ong Meng Chuan berkata menerusi kajian yang dijalankan pasukannya, pencemaran logam berat seperti arsenik, kadmium, plumbum dan merkuri banyak dikesan di kawasan muara sungai dan pelabuhan di sepanjang Selat Melaka.
Kajian tersebut dijalankan pasukan Ong baru-baru ini dalam pelayaran saintifik menggunakan kapal penyelidikan UMT, RV Discovery sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) dari 13 hingga 22 Mac lalu dari Kuala Terengganu hingga ke Tanjung Lembong, Pulau Langkawi, Kedah.
Ekspedisi yang disertai 25 saintis dan penyelidik itu, telah melalui lebih 45 stesen persampelan di dua laluan maritim iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan.
Ong berkata tidak ramai yang menyedari kesan pencemaran logam berat daripada sumber makanan laut boleh menyebabkan pelbagai penyakit kepada manusia kerana ia melibatkan kesan jangka masa panjang.
“Kesan pencemaran logam berat terhadap manusia mengambil masa yang lama untuk dikesan sebab ia melalui proses bioakumulasi dimana kita makan sedikit daripada makanan itu yang dicemari arsenik atau merkuri (logam ini tidak diperlukan oleh badan) setiap hari dan akhirnya akan menyebabkan kita mendapat pelbagai penyakit,” katanya.
Mengulas mengapa kawasan perairan Selat Melaka lebih tercemar berbanding Laut China Selatan, Ong berkata keadaan laut Selat Melaka yang cetek dan peningkatan sektor perindustrian di kawasan pelabuhan dan muara sungai menjadikan ia penyumbang utama pencemaran tersebut.
Lala masak sambal antara makanan digemari rakyat Malaysia
Katanya di kawasan muara sungai, arus sungai adalah lebih lemah dan menyebabkan logam-logam berat ini mudah terdampar dan menjadi mendapan di sungai dalam jangka masa yang lama.
“Keadaan perairan yang sempit dan cetek, juga telah menjadikan kadar pemendapan bahan logam berat itu tinggi berbanding di Laut China Selatan yang mempunyai kadar isi padu air laut yang lebih banyak dan ini akan mencairkan bahan logam tersebut,” tambahnya.
Sehubungan itu, Ong berkata kerajaan dan pihak yang berkaitan perlu bertindak tegas dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang mengambil remeh isu pencemaran logam berat di kawasan perairan negara ini.
“Mungkin denda yang lebih tinggi atau hukuman yang lebih tegas boleh dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah melakukan pencemaran ini.
“Kita juga tidak mahu kes pencemaran bahan kimia yang berlaku di Sungai Kim-Kim hingga menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup 7 Mac lalu berulang kembali,” katanya semalam.
Habis, mana satu kita nak percaya nie?
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Aplikasi TikTok umumnya dikenali sebagai apps yang menggembirakan dan menceriakan ramai penggunanya serta penonton.
Namun, ini bukan kali pertama cerita tentang cabaran tiktok yang meragut nyawa penggunanya.
Terbaru, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun maut selepas menyertai cabaran aplikasi TikTok yang memerlukan pengguna mengambil ubat alahan melebihi dos disarankan.
Menurut laporan Mirror.Chloe Phillips, 15, menggunakan ubat alahan Benadryl untuk menyertai cabaran dikenali sebagai Benadryl Challenge.
Keluarganya kini tampil berkongsi kejadian itu bagi mengelakkan tragedi seumpamanya dialami remaja lain.
Dalam cabaran itu, peserta perlu menggunakan ubat secara berlebihan hingga mengalami halusinasi.
Artikel ini tidak ditulis bertujuan untuk meletakkan pengguna TikTok di bawah spotlight. Namun, dalam pada kita bergembira untuk mencipta video terbaru bagi tontonan followers, kami berharap agar kita semua menjaga keselamatan dan kesihatan diri sendiri terlebih dahulu.
Jangan hanya untuk mengejar jumlah followers dan likes, kita sanggup berbuat apa saja dan merasa tertekan.
Jika terasa tertekan sekalipun, sila dapatkan consultation daripada pakar ataupun cuba beberapa teknik untuk mengawal rasa tekanan. Mungkin korang boleh mencuba cara butterfly hug seperti ini.
Dua hari lalu, negara digemparkan dengan satu kisah yang menjadi viral yakni kisah seorang pelajar tahfiz, Syed Khairun Hazim bin Syed Husain, 13 yang nekad lari dari maahad tahfiz pengajiannya akibat tidak tahan dibuli pelajar senior.
Dia bukan saja dipukul di perut, disepak di belakang badannya sehinggakan, pemeriksaan lengkap di Hospital Kuala Kubu Bharu selepas kejadian ini mendapati ada koyakan pada tisu pinggang selain masalah yang sama di betis kaki kanannya.
Remaja menemui Hazim, remaja yang menjadi mangsa buli ini di Maahad Tahfiz Al-Kholidi, Hulu Yam di rumahnya di Bukit Beruntung, Hulu Selangor petang tadi.
Kesan lebam pada kakinya masih kelihatan. Cuma di bahagian pinggangnya sudah kurang jelas tetapi “hilang” bukan bermakna tidak bermasalah. Hazim juga tampak tenang, mampu bercerita dengan baik tentang kejadian yang menimpanya.
Hazim menceritakan semula bagaimana dia dibuli oleh dua orang senior di maahad tahfiz tersebut
Lakaran perubatan hasil pemeriksaan doktor yang dilakukan di Hospital Kuala Kubu Bharu selepas laporan polis dilakukan oleh keluarganya
Akui masih trauma dan sesekali menangis bila teringat kembali bagaimana tubuhnya selalu menjadi mangsa sepakan dan tumbukan dua pelajar senior maahad tahfiz tersebut, Hazim akui dia masih belum mahu memikirkan hendak bersekolah di mana selepas ini. Kebetulan cuti sekolah bermula Sabtu ini adalah ruang untuk keluarganya memikirkan di mana persekolahan terbaik untuk anak sulung ini.
Kejadian ini bukan saja trauma pada dirinya tetapi keluarganya juga begitu. Dalam pertemuan itu, ibu mangsa, Nurul Amiza binti Zakaria, 36 tahun berkata, keluarganya tidak teragak-agak mengambil tindakan saman kepada pelajar terlibat.
“Sebagai keluarga, saya tidak menghantar anak ke maahad untuk menjadi mangsa buli sebaliknya anak ke sana kerana minatnya yang mendalam tentang pengajian agama dan dia sendiri mahu belajar.
“Kes ini kalau tidak diteruskan dengan pendakwaan, boleh berlaku kepada pelajar lain. Saya boleh terima lagi kalau tindakan dua pelajar itu marah-marah atau sekadar satu percakapan mulut tetapi apabila dia menyepak dan menumbuk anak kerana tidak ambilkan air dan jubahnya, bagi saya itu tindakan tidak wajar dan harus dihentikan segera,” katanya yang sama sekali tidak menyangka anaknya menjadi mangsa buli. Selama ini dia hanya membaca kisah anak orang lain menjadi mangsa dan kali ini anak sulungnya pula terlibat.
Hazim diganggu setiap hari, adakalanya makan penyepak dan tampar…
Pusat tahfiz yang sepatutnya melahirkan insan berakhlak tinggi dan berbudi pekerti kerana melahirkan insan yang cemerlang dalam agama, sudah menjadi mimpi ngeri apabila ada sebahagian pelajar berlagak samseng membuli orang lain.
Kongsi Hazim, segala-galanya bermula selepas hari ke 43 dia di maahad terbabit. Awalnya dia disuruh mengambil air tetapi dia enggan. Alih-alih satu sepakan tepat di belakang tubuhnya.
Makan minggu, kejadian buli semakin ketara. Setiap hari dia akan diganggu dan adakalanya tumbukan dan sepak adalah mainannya. Sama ada di perut, belakang badan, kaki dan tubuhnya yang lain. Masalah buli tetap sama, disuruh ambil air dan jubah di asrama. Hazim akui rakan-rakan asramanya tahu tentang kes bulinya tetapi masing-masing takut, begitu juga dengan dirinya.
Beginilah tubuhnya akan digrip sebelum ditumbuk di perut dan diterajang di belakang badan oleh dua pelajar senior. Seorang tukang pegang dan seorang lagi tukang pukul (lakonan semula bersama bapa saudaranya)
Kaki kanannya yang masih ada kesam lebam akibat disepak
Tisu pinggangnya koyak akibat dipukul dengan kerap oleh pelajar senior terbabit
Malah kerana rasa takut jugalah dia tidak mengadu kepada ustaz kerana tidak mahu terus dipukul tetapi ternyata perkiraannya salah. Dia tetap menjadi mangsa buli pelajar senior tersebut.
“Kalau waktu saya ditumbuk itu, seorang pelajar senior akan pegang dan “grip” tangan saya kuat-kuat sebelum seorang menumbuk perut atau menerajang perut. Sakit memang sakit tapi saya tidak mahu menangis di depan mereka,” katanya mengakui akui tidak tahan didera dia nekad lari dari asrama pada jam 4.30 pagi bersama seorang lagi rakannnya, Wan Mohd Arfan yang kebetulan duduk sebaris dengan rumahnya di kediaman sama.
Hazim akui dia sudah lama membuat pertimbangan berkenaan tetapi selepas tidak tahan dibuli da tahu dia boleh “terkujur” jika terus bertahan, dia mengambil satu keputusan nekad.
Cerita Hazim, dia dibekalkan dengan sebuah lampu suluh pemberian rakan asrama dan sudah lebih awal mengemas beg bajunya. Jam 4.30 pagi itu, dia keluar lalu di belakang kantin dan seterusnya memasuki hutan yang gelap gelita.
“Saya memang takut tapi saya lagi takut mati di asrama kerana terlalu kerap kena pukul. Kami terserempak dengan khinzir yang sedang mengais-gais tanah sebelum lari lintang pukang kerana takut. Lebih kurang 5 kilometer perjalanan, saya dan Arfan sudah terlalu letih dan lapar.
“Masa yang sama, ada orang ramai yang bertanya kemana kami hendak pergi selepas kami berjaya keluar dari hutan tersebut,” katanya memaklumkan akibat keletihan, dia sudah tersesat sehingga sampai ke Kampung Pasir, Hulu Yam sebelum ditolong oleh orang ramai yang bertanya ke mana arah tujuan mereka berdua.
Biar ditanya orang ramai arah tujuannya, namun rasa takut masih ada dalam dirinya dan biar ditanya adakah dia mahu ke balai polis atau kembali ke maahad tahfiz itu, Hazim dan rakannya memilih untuk pulang ke rumah sahaja. Dan rentetan dari kejadian nekad lari itulah mula membongkar bagaimana dia sebenarnya dibuli sebelum nekad membuat keputusan bahaya keluar pada jam 4.30 pagi itu.
Dalam pada itu, dari pihak keluarganya, mereka sudah membuat laporan polis, sudah bertemu keluarga pelajar yang membuli dan keluarga tersebut ada meminta agar laporan di tarik balik.
Buat masa ini pihak keluarga tidak akan menarik semula laporan polis yang telah dibuat, kata Amira
Buat masa ini menurut ibunya, mereka tidak akan menarik semula laporan. Kata Amiza, ketika di balai polis Kuala Kubu Bharu, dia bertemu dengan pelajar yang membuli anaknya, bertanya mengapa kejadian itu dilakukan namun remaja berusia 14 dan 15 tahun itu hanya menunduk seribu bahasa.
“Hati saya sedih. Anak saya bukan kaki bergaduh pun. Malah setiap kali dipukul, dia tidak melawan langsung. Saya menafikan laporan akhbar yang menyiarkan berlakunya pergaduhan sesama mereka malah dalam laporan polis juga tidak menyebut mengenainya,”katanya yang mengakui geram kerana anaknya menjadi mangsa buli ini.
Tidak mahu terus menyalahkan sesiapa biar wujud “kekurangan” kerana kurang pengawasan terhadap pelajar, Amiza berkata, dia sendiri belajar dari pengalaman biarpun sebelum ini ibu bapa diwar-warkan tentang keselamatan pelajar yang terjamin ketika di pusat tahfiz ini.
Ternyata masalah buli di kalangan remaja terus wujud kerana masing-masing mahu membuktikan siapa lebih kuat. Ternyata isu buli ini harus dibanteras dan tidak wajar berlaku di kalangan pelajar sekolah.
Saksikan video ini saat di mana Hazim bercerita dia selalu dipukul pelajar seniornya.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kisah inspirasi seorang remaja cemerlang, hafiz 30 juzuk dan pelajar 10A+ SPM yang berani menolak tawaran besar demi mengejar impian menjadi juruterbang. Keteguhan prinsipnya menyentuh hati ramai.