Insiden kehilangan pesawat Sriwijaya Air SJY 182 dari radar yang dilaporkan semalam oleh media Indonesia telah mengejutkan ramai pihak memandangkan insiden yang melibatkan pesawat Malaysia Airlines MH370 masih lagi dirasai oleh penduduk di rantau Asia Tenggara.
Begitu juga dengan tragedi yang menipa pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas pada tahun 2014.
Hari ini, berita penemuan serpihan dan badan pesawat telahpun diterima selepas operasi pencarian mula dilakukan sejak semalam. Ini merupakan 3 info baharu yang diterima oleh pihak media.
Lewat Berlepas
Faktor cuaca buruk bukan saja melanda Malaysia malahan negara jiran termasuk Indonesia. Pesawat Sriwijaya Air SJY 182 yang dijadualkan berlepas dari Bandara Soekarno Hatta di Jakarta telah berlepas 30 minit selepas waktu yang ditetapkan.
Akhirnya, ia berlepas pada jam 2.40 petang.
ARTIKEL BERKAITAN : [NAHAS] Pesawat Sriwijaya Air Hilang Dari Radar, Nelayan Temui ‘Serpihan’ Di Laut – REMAJA
Kerahan Aset
Pasukan mencari di Basarnas mula menerima berita kehilangan pesawat Sriwijaya Air SJY 182 dari radar penerbangan pada jam 2.55 petang. Usaha pencarian bermula pada jam 5.00 petang di lokasi yang terhempas sekitar Pulau Laki dan Pulau Lancang, di kawasang peraiaran Kepulauan Seribu.
Di antara jentera yang mengikuti pencarian itu adalah kapal selam Basarnas, empat kapal perang milik TNI AL, beberapa kapal Republik Indonesia (KRI) dan enam buah kapal Polair.
Bangkai Pesawat
Sehingga kini, sebahagian bangkai pesawat Sriwijaya Air SJY 182 dan kepingan logam terapung telah ditemui oleh pasukan penyelam tentera Indonesia di Laut Jawa pada kedalaman 23 meter pada hari ini. Usaha itu dibantu apabila kadar penglihatan di dalam air adalah baik.
Mayat Penumpang
Pada tengah hari tadi, media Indonesia melaporkan bahawa sejumlah cebisan badan mayat penumpang pesawat telahpun ditemui oleh pasukan pencarian di sekitar kawasan yang dikenal pasti, kira-kira jam 9.45 pagi ini.
Cebisan mayat yang ditemui itu berada di bahagian belakang badan pesawat. Kesemuanya dibawa ke Jakarta International Container Terminal (JICT) 2 Pelabuhan Tanjung Priuk Jakarta untuk disiasat.
*
Menerusi Twitter, syarikat pengeluar pesawat Boeing berkata bahawa pihak mereka sedang mengumpulkan maklumat berkaitan insiden ini dan mendoakan kesejahteraan anak kapal, penumpang serta keluarga mereka.
Boeing juga sedang berhubung dengan pelanggan syarikat penerbangan mereka dan bersedia menyokong mereka pada masa yang sukar ini.