Setelah lama mengimpikan peluang untuk bermain di liga antarabangsa terutamanya di Eropah, akhirnya impian pemain JDT, Safawi Rasid tercapai juga apabila dia terpilih untuk menyertai kelab bola sepak di Portugal, Portinonense SC.
Ia direalisasikan setelah satu perjanjian dicapai oleh JDT untuk meminjamkan pemain berusia 23 tahun itu kepada Portimonense SC bagi satu musim.
Berita ini nyata memberi kejutan kepada peminat bola sepak tempatan yang baru menonton aksi Safawi ketika membantu JDT muncul sebagai juara Liga Super, semalam.
Safawi telahpun dijadualkan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Portugal pada 11 malam tadi .
Menurut Safawi kepada portal Goal.com, dia sedar pengalaman bermain di sana adalah berbeza berbanding di Malaysia terutamanya faktor cuaca.
Dia perlu pantas membiasakan diri kepada aspek-aspek tersebut demi membuktikan bahawa Portimonense tidak salah memilihnya sebagai pemain baru mereka.
Peminat bola sepak tempatan serba tahu bahawa rakan sekelab Safawi seperti Nazmi Faiz (kelab Beira-Mar, 2012) dan Syamer Kutty Abba (kelab Vilaverdense, 2018) pernah mempunyai pengalaman bermain di Portugal sebelum ini.
Kata Safawi, dua orang pemain itu telah berkongsi kisah corak perlawanan di Portugal yang lebih pantas. Lalu, dia akan memastikan dirinya bersedia untuk menyesuaikan diri sejak peringkat awal latihan kelak.
Apapun, REMAJA ucapkan selamat maju jaya kepada pemain bola sepak berbakat ini.
Sebelum ini, seorang lagi pemain remaja negara iaitu Luqman Hakim Shamsuddin telahpun terpilih untuk beraksi bersama kelab K.V. Kortijk di Belgium sejak Ogos lalu.