Kewujudan laman sosial seperti facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain aplikasi antara ketagihan alaf baru yang wujud masa kini. Lebih ramai “follower”, bermakna diri lebih glamor.
Minggu lalu, Remaja ada menyiarkan kisah seorang instafamous yang sanggup berhutang bank dan pernah ada perasaan ingin membunuh diri kerana kurang mendapat like dari pengikutnya. Masa yang sama, instafamous ini perlu berbelanja besar demi memperlihatkan dirinya begitu sempurna di mata pengikutnya. Beli baju atau barang mesti dari jenama terkenal, makan di mana pun nak up, lepak di hotel juga muat turun, itu belum lagi perlu ke luar negara demi nak nampak glamor.
Seolah menjadi trend, jika instafamous sanggup berhutang bank dalam satu jumlah besar, nampaknya trend mengejar glamor ini turut terpalit di kalangan pelajar sekolah menengah yang sanggup membeli Instagram rakan-rakan mereka yang mempunyai ramai pengikut semata-mata mahu kelihatan glamor di kalangan rakan sebaya.
Hal ini didedahkan oleh seorang ibu yang memaklumkan anaknya yang merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di Shah Alam memberitahu ada rakannya yang sanggup membayar RM100 demi mendapatkan 1000 pengikut di Instagram milik rakan mereka.
“Biasanya mereka sanggup membayar lebih dari itu. Selepas proses pembelian berlaku, gambar pemilik insta lama akan dibuang dan digantikan dengan pemilik baru dengan jumlah pengikut kekal.
“Apa yang pelajar inginkan hanyalah jumlah pengikut kerana mereka ada perasaan ingin glamor,” kata ibu pelajar yang memaklumkan, trend ini mulai tular kerana remaja ini tumbuh dengan satu perasaan ingin menonjol berbanding rakan sendiri.
Keinginan untuk mengecap glamor antara sebab mengapa hal ini mendorong pelajar berfikiran sedemikian. Lebih ramai pengikut, lebih mahal yang perlu dibayar oleh pelajar yang mahukannya.
Bayangkan dalam usia semuda itu, pelajar sudah diajar tentang “nilai kemasyhuran” dan menuntut berbelanja lebih. Mungkin sesetengah ibu bapa tidak menyedari soal ini. Bila anak minta duit, memberi tanpa banyak menyoal sedangkan wang dibazirkan hanya kerana mahu dilihat ramai pengikut.
Hal ini turut terungkai apabila cari Remaja di Instagram Media Hiburan mendapati ada individu yang mahu menjual “pagenya” dengan iklan berbunyi seperti berikut.
Hi Salam. Saya ada jual followers dan likes. Berminat nak cuba tak? Saya boleh bagi test likes. Boss nak naikkan followes dengan likes tak? Banyak model dan designer yang dah buat servis dengan saya sebab kalau tak lambat dapat job katanya. Saya boleh naikkan likes dan followers boss. Sekarang kami tgh buat promo.
Ternyata, menjual likes dan followers ini bukan hanya tular di kalangan pelajar sekolah tetapi sudah menjadi satu bisnes kepada individu yang “nampak peluang” buat duit dengan kegilaan ini. Pendek kata, money is very empowering. Ada duit semua boleh jadi.
Remaja mendapatkan penjelasan dari Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Siti Fatahiyah Mahamood yang juga seorang penyelidik teknologi dan remaja masa kini mengenai trend ini.
Menurutnya, keinginan untuk nampak hebat di mata kawan-kawan dan masyarakat mengakibatkan “penjualan” ini wujud.
“Sebagai remaja, mereka ada keinginan tinggi. Mahu lebih berbanding biasa. Seharusnya ibu bapa perlu membuat pemantauan jika kelihatan anak-anak terjurus ke arah ini. Walaupun bukan satu kesalahan tetapi ibu bapa harus bermain tarik tali dalam melentur anak-anak yang terlibat.
“Jangan sesekali berkata tidak kerana mereka tidak mahu mendengar teguran sebegitu sebaliknya mesti ada pendekatan berbeza ketika menasihati. Walaupun bukan satu penyakit kejiwaan tetapi trend ini boleh mewujudkan kesan atau gangguan psikologi kepada pelajar sekiranya perkara ini tidak dibendung atau dikawal oleh ibu bapa atau penjaga. Dikhuatiri pelajar yang tidak mempunyai ramai followers seperti rakan-rakan yang lain dan berkemungkinan akan mengganggu fokus pembelajarannya.
Dalam pada itu, Ustazah Fatahiyah berkata, walau pun trend ini dilihat kurang baik tetapi menurutnya, apabila sampai satu peringkat umur beralih ke dewasa, remaja akan memahami dan dapat membezakan apa yang betul dan apa yang salah.
“Tapi hal ini berbeza dengan orang terlibat dalam dunia perniagaan, kerjaya dan sebagainya kerana ia satu taktik untuk membuat orang lain percaya bahawa mereka orang yang mempunyai ramai pengikut,” katanya ketika dihubungi.
Isunya di sini, kalau semuanya boleh dijual, semuanya boleh dibeli, adakah pengikut-pengikut instafamous ini mendapat keuntungan? Tepuk dada, tanya selera. Nak nak dikejar hanya soal duniawi sahaja pun…