Kira-kira dua tahun lepas, seluruh dunia kecoh sekejap apabila foto pelakon Mean Girls, Lindsay Lohan yang memakai hijab tersebar di media sosial.
Ramai yang membuat spekulasi Lindsay kononnya telah memeluk agama Islam, berkahwin dengan jutawan dari negara Arab ataupun sengaja melakukan publisiti untuk kekalkan populariti.
Namun, Lindsay buat julung kalinya bercakap di media perdana melalui rancangan The Wendy Williams Show, hujung minggu lepas untuk bercakap tentang kehidupannya yang sebenar, selama ini.
Menurut pelakon berusia 31 tahun itu, dia sebenarnya berulang-alik di antara tiga buah bandar iaitu New York City, Dubai UAE dan Greece atas urusan kerja dan juga untuk mencari ketenangan.
“Setelah episod hitam dalam hidup saya berlaku semasa saya menginap di Los Angelas beberapa tahun lepas, saya inginkan ketenangan dan apa yang saya lakukan ialah membuatkan diri saya sibuk dengan kerja.
“Di New York, saya akan bersama dengan keluarga. Kemudian, saya akan berpatah ke Dubai di mana ia adalah tempat saya untuk betul-betul bekerja. Contohnya sekarang, saya sedang menyiapkan rangkaian kosmetik dan juga, hhm, mereka bentuk sebuah pulau yang bernama ‘Lohan Island’.”
Ouh, wow!
Katanya, pulau miliknya itu termasuk di dalam projek The World Islands, iaitu pulau-pulau kecil yang ditambak mengikut bentuk peta dunia.
“Ia masih dalam peringkat perbincangan. Ya, saya sukakan projek kecil seperti ini untuk membuatkan diri sibuk. I like to keep myself busy,” katanya kepada hos, Wendy Williams.
Selain daripada Dubai, Lindsay juga akan melawat Mykonos di Greece setiap 4-5 bulan sekali untuk melihat kelab malam bernama Lohan Nightclub yang diusahakannya selama ini. Sebuah lagi kelab malam milik Lindsay juga terletak di Greece, iaitu di Athens.
Jadi sekarang, kita tahulah kenapa Lindsay sudah lama tak melakukan kemunculan di karpet merah. Fotonya juga jarang sekali ditangkap oleh paparazi. Ini kerana kegiatan paparazi diharamkan sepenuhnya di Dubai yang menjadi rumah keduanya.
Dubai juga baginya ialah tempat yang tenang kerana jarang sekali dia melihat orang mabuk dan berparti di sana. “Saya merasa selamat di sana. Mudah untuk saya merancang kerja saya tanpa gangguan.”
Lindsay dalam temuramah bersama Wendy Williams.
Selain daripada kerja yang memerlukannya terbang dari satu negara ke negara yang lain, Lindsay juga kini aktif dalam urusan kebajikan bersama mangsa pelarian. Dia selalu berhubung dengan keluarga pelarian di negara seperti Turki untuk berbincang mengenai keperluan di sana terutamanya keperluan kanak-kanak. Malah, Lindsay juga merancang untuk kembali ke Turki dalam masa terdekat.
“Saya rasakan penting untuk memberi kasih sayang kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai ahli keluarga dan masa depan yang cerah. Itu juga adalah salah satu fokus saya sekarang,” katanya.
Apabila ditanya mengenai perancangan untuk mempunyai keluarga dan anak sendiri, Lindsay mengatakan buat masa ini dia tidak mempunyai teman lelaki lagi. Namun sudah tentu suatu hari nanti, dia inginkan keluarga seperti orang lain juga.
Kadangkala, kita lupa yang Lindsay Lohan baru berusia 31 tahun kerana dia bermula awal sebagai pelakon Mean Girls. Bagi korang yang rindu untuk menonton lakonan Lindsay, dia akan terlibat dalam penggambaran filem di Riyadh tak lama lagi. Filem berjudul ‘Frame’ itu memaparkan kehidupan seorang jurugambar wanita Amerika yang meninggalkan Amerika untuk menetap di Arab Saudi.
Di sana, dia mendalami kehidupan wanita Mesir yang mempunyai budaya dan hobi berbeza dengan wanita Barat seperti memanah, lawan pedang dan menunggang kuda.