Banyak pusat beli belah dibina di negara ini. Keluasan yang begitu besar, punyai pelbagai kemudahan yang amat selesa malah pengunjung boleh membuat pelbagai pilihan semasa berkunjung.
Namun bila berbicara soal keadaan surau, tentu sebahagian dari kita pernah alami betapa sempitnya surau disediakan di mana umat Islam yang hendak menunaikan solat perlu berhimpit-himpit terutama waktu Maghrib yang masanya agak singkat.
Tentu korang pernah alamikan, di mana kita perlu melangkah di hadapan individu yang sedang bersolat untuk mengambil tempat di hadapannya yang mungkin sudah kosong.
Masa yang sama, kita merasakan “tidak salah” melangkah di hadapannya kerana adanya halangan atau disebut sutrah.
Dalam kitab Fiqh al-Manhaji (1/392-393) dalam bab perkara-perkara sunat berkaitan dengan solat.
“Sekatan adalah sebagai tanda pemisah di antara orang yang bersolat dengan orang yang lalu-lalang di hadapannya, seperti dinding, tiang, tongkat atau menghamparkan sejadah dan sebagainya. Jika tidak didapati apa-apa pun buatlah tanda garisan sahaja.
Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Umar RA yang membawa maksud, “Rasulullah SAW apabila pergi menunaikan solat hari raya, Baginda meminta sebatang tombak pendek diletakkan di hadapannya, lalu Baginda menghadapnya manakala orang ramai pula di belakang Baginda ketika bermusafir.” Riwayat al-Bukhari (472) dan Muslim (501)
Sementara cara yang afdhal pula ialah meletakkan sekatan berhampiran dengan tempat sujud.
Bagaimana kalau tiada sutrah atau halangan kita letakkan namun tempat melintas itu dilalui oleh inividu yang ingin menunaikan solat.
Ini hukum lintas depan orang solat
Dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie ada ditambah bahawa haram bagi seseorang untuk lalu di hadapan orang yang bersolat sedangkan dihadapannya sudah ditandakan dengan sutrah, berdasarkan hadis Abu al-Juhaim al-Ansari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Kalaulah seseorang itu tahu dosa yang dikenakan ke atasnya akibat berjalan di hadapan orang yang solat, nescaya kalau dia berdiri selama 40 (tempoh tertentu), lagi baik daripada dia berjalan di hadapan orang yang solat. Riwayat al-Bukhari (510)
Berkata Abu al-Nadr, salah seorang perawi hadis ini, : “Aku tidak pasti sama ada baginda bersabda 40 hari, 40 bulan atau 40 tahun.”
Ini pula hukum melintas di hadapan orang yang solat tanpa sutrah
Kata Imam An-Nawawi dalam Syarah Muslim : Adalah MAKRUH melintas dalam keadaan demikian; demikian juga jika ada sutrah, tetapi letaknya jauh.
Berkata Ibnul Qayyim: “Menurut Ibnu Hibban dan lain-lain, hukum haram yang disebutkan itu ialah bila orang yang solat itu menggunakan tabir/sutrah. Maka kalau tidak pakai tabir, tidaklah haram lalu di depannya.
Hukum melintas orang yang sedang solat kerana hendak memenuhkan saf.
Kata Imam An-Nawawi : Seandainya ada kekosongan di saf pertama (yang kerap menjadi rebutan orang ramai), maka bolehlah seseorang melintas orang yang sedang solat di sof kedua (atau lainnya) dan masuk berdiri di tempat tersebut disebabkan kealpaan orang-orang di belakang tidak memenuhkan tempat yang perlu dipenuhkan.
Jadi, secara kesimpulannya, kalaulah kita tahu dosanya, pasti kita akan berhenti melintas di depan orang bersolat. Mungkin kita perlu bersabar dan menunggu giliran kerana dikhuatiri kita yang berdosa walaupun niat kita hanyalah untuk beribadah kepada Allah SWT.