Peminat pasukan bola sepak Sepanyol, FC Barcelona tentunya berdukacita pagi ini selepas mendengar perkhabaran mengenai perpisahan kelab itu dengan bintang sensasinya, Lionel Messi.
Enggan membiarkan spekulasi liar berterbangan, FC Barcelona segera mengumumkan perkara tersebut menerusi platform media sosial mereka, kira-kira 6 jam yang lalu.
Menurut kenyataan dalam dwi-bahasa itu, pada bulan lalu, FC Barcelona dan Messi sama-sama telah bersetuju dengan terma kontrak baharu Messi dan merancang untuk menandatanganinya semalam.
Messi dilaporkan akan disambung untuk tempoh lima tahun lagi walaupun gaji pemain itu akan mengalami penurunan sebanyak 50 peratus dari gaji asas 45 juta Euro kepada hampir 20 juta Euro saja.
ARTIKEL BERKAITAN : Carta Teratas Forbes 2020, Lionel Messi Bintang Bola Sepak Bergelar Billionaire – REMAJA
Namun, semua itu bertukar angan-angan dalam sekelip mata disebabkan ‘halangan kewangan dan struktur’ yang merujuk kepada peraturan La Liga di Sepanyol.
Peraturan itu menetapkan sejauh mana sesebuah kelab bola sepak boleh berbelanja untuk para pemain berbanding keuntungan yang diperolehi daripada penjualan pemain mereka kepada kelab lain. Untuk mengekalkan Messi, FC Barcelona perlu melepaskan pemain lain daripada kelab dan mereka gagal berbuat sedemikian.
Kali terakhir kontrak Messi dengan FC Barcelona diperbaharui adalah pada tahun 2017 dan ia dilaporkan bernilai USD675 juta. Namun disebabkan peraturan La Liga ini, Messi tidak mampu untuk terus bergelar pemain kelab tersebut selepas ini.
“Kedua-dua pihak amat mengesali hal ini apabila keinginan kelab dan pemain tidak dapat dituruti. FC Barcelona dengan ini ingin memberi penghargaan kepada pemain yang telah memberikan sumbangan yang tidak terhingga kepada kelab ini dan kami ucapkan selamat maju jaya untuk masa hadapan peribadi dan kerjayanya,” ulas kelab itu.
Di atas kertas, kegagalan memperbaharui kontrak Messi ini nampak seperti bukan kesalahan mana-mana pihak dan ia disebabkan oleh soal peraturan liga. Namun, ada kata-kata nakal yang berpendapat ia sengaja ‘tidak disambung’ selepas hubungan Messi dan kelab itu rengang pada Ogos tahun lalu. Messi pernah tidak sekepala dengan presidennya, Josep Maia Bartomeu namun dipaksa untuk kekal bermain untuk FC Barcelona.
Malah, agak pelik apabila ‘pemergian’ Messi ini dilakukan secara tiba-tiba dan tanpa apa-apa ucapan awal dari rakan kelabnya, bekas pemain FC Barcelona mahupun presiden terkininya, Joan Laporta.
Bukan itu saja, sukar untuk kami percayai bahawa pemain sehebat Messi masih tidak mempunyai alternatif kelab bola sepak lain yang sedia ada menantinya sewaktu pengumuman dilakukan oleh FC Barcelona. Messi setaraf dan sepopular Cristiano Ronaldo dan David Beckham kot! Kalau korang masih ingat, kedua-dua pemain itu sudah diikat kelab lain sebelum mereka diumumkan akan meninggalkan kelab sedia ada; sebagai contoh Beckham dari Real Madrid ke LA Galaxy (2007) dan Ronaldo dari Real Madrid ke Juventus (2018).
Maka, tidak hairanlah apabila ada peminat bola sepak yang mempersoalkan ketulenan alasan yang diberikan oleh FC Barcelona ini. Mungkinkah kelab itu sedang merancang sesuatu yang kita semua tidak tahu?
*
Untuk pengetahuan, Messi telah mempunyai pertalian yang cukup lama dengan FC Barcelona setelah dia memulakan kerjaya sebagai pemain cilik di program remaja kelab tersebut, La Masia pada usia 13 tahun.
Sejak 2004, kapten pasukan bola sepak Argentina itu terus bermain secara profesional untuk FC Barcelona dan telah menjaringkan 120 gol dalam Liga Juara-Juara Eropah; kedua terbaik selepas Cristiano Ronaldo yang pernah mewakili Real Madrid.
Sepanjang 778 kemunculan bersama FC Barcelona, beliau telah menjaringkan sejumlah 672 gol untuk membantu kelab itu menjuarai liga sebanyak 10 kali, empat kejuaraan Champions League dan tiga kejohanan Piala Dunia Kelab.