Mesti ramai peminat yang rindu melihat kemunculan pelakon terkenal, Lisa Surihani mewarnai pentas lakonan negara. Walau bagaimanapun, beliau kini lebih menonjol sebagai model tudung muslimah ataupun pengacara program televisyen.
Lisa Surihani atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed (38) berkata, beliau tidak menafikan perjalanan karier seninya sebagai aktres agak perlahan khususnya selepas mendirikan rumah tangga dan menjadi ibu kepada dua cahaya mata.
Selain itu, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui sengaja memilih langkah itu untuk bersikap selektif terhadap watak yang ditawarkan kepadanya dan ingin sesuatu kelainan dalam setiap watak yang bakal dilakonkan.
Dalam pada itu, isteri kepada komposer dan pengarah terkenal Datuk Yusry Abdul Halim ini mula tampil berhijab kira-kira lima tahun lalu selepas pulang menunaikan umrah juga kini lebih tertarik kepada naskhah jalan cerita berunsurkan kerohanian serta memberi manfaat kepada orang lain.
“Kalau ikutkan pada perjalanan kerjaya saya dari awal lagi, saya sudah buat pelbagai (watak). Tetapi, kalau dari segi keagamaan (drama, filem) itu mungkin, in the past sekali dua macam itu (sahaja),” katanya.
“Jadi, kalau ada cerita sebegitu (nilai keagamaan), saya boleh (lakonkannya) dan harapnya juga, ia (drama atau filem yang) tertulis untuk saya, insya-Allah. Sebelum berhijrah pada 2019, saya memang agak berhati-hati memilih watak dan sentiasa menitikberatkan pendapat mereka yang dekat dengan saya,” tambahnya.
Sementara itu, Lisa yang pernah popular menerusi watak Dian dalam filem Istanbul Aku Datang ini bagaimanapun menafikan bahawa keterbatasannya beraksi di pentas lakonan berpunca daripada suaminya yang menetapkan syarat-syarat tertentu.
Malah, pemenang anugerah pelakon wanita terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 dan 26 ini berkata suaminya tidak pernah menetapkan sebarang syarat kepadanya dalam mengukuhkan lagi sayap di dunia seni.
“Sebaliknya, dia lebih memberi sokongan di atas keputusan yang (saya) buat. Alhamdulillah, dari awal perkahwinan lagi, ada persefahaman yang cukup baik antara saya dengan suami, bahkan tidak pernah pula ada situasi (dia tidak beri saya ambil apa-apa tawaran). Biasanya, dia akan okey sahaja”
Menginginkan yang terbaik, Lisa, anak keempat daripada lima beradik ini berkata semestinya beliau menyimpan harapan tinggi pada tahun ini untuk melihat perjalanan karier seninya serta kehidupannya bersama-sama dengan keluarga tercinta sentiasa dipermudahkan.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.