Lokasi Glamping Ini Janjikan Pengalaman ‘Healing’ Luar Biasa Buat Pengunjung. Confirm Rasa Tak Nak Balik!

Share

Masih mencari lokasi yang sesuai untuk ‘healing’ ke tu? Ha, mari sini Remaja kongsikan satu tempat yang korang boleh healing sepuasnya dengan tenang…

Ya, lokasinya hanya di Pulau Mutiara, Pulau Pinang sahaja! Selain terkenal dengan nasi kandar, negeri ini juga memiliki ‘hidden gems’  yang semakin popular iaitu Boulder Valley Glamping yang terletak di Teluk Bahang, Balik Pulau.

ARTIKEL BERKAITAN: Tapak Perkuburan Yahudi Tertua Di Asia Tenggara Terletak Di Pulau Pinang?

Lokasi yang diselimuti kehijauan alam semula jadi itu adalah destinasi percutian yang sesuai untuk mereka yang ingin beristirehat daripada hiruk-pikuk kota dan mencari ketenangan atau lebih popular dengan istilah terkini ‘healing’.

Paling syok sekali, korang tak perlu dah nak bawa pelbagai peralatan seperti berkhemat tu…. Di sini, semua dah tersedia buat anda!

Biarpun bilik yang ditawarkan berkonsep kanopi, tetapi Boulder Valley Glamping tidak berkompromi soal keselesaan pengunjung. Tidak keterlaluan jika dikatakan anda seolah-olah berada di hotel lima bintang, namun dikelilingi alam semula jadi.

Saat kaki melangkah masuk ke Boulder Valley Glamping, anda disambut dengan alunan bunyi cengkerik dan aroma hutan yang cukup mendamaikan. Fuh, memang tenang!

Menurut Pengurus Boulder Valley Glamping, Eugene Hoe, terdapat tiga jenis bilik yang ditawarkan kepada pengunjung iaitu Safari Tent, Tented Villa dan Chalet Room yang harganya bermula daripada RM300 sehingga RM800.

Sungguhpun konsep seperti perkhemahan, kelengkapan asas disediakan antaranya seperti, pengering rambut, ketuhar gelombang mikro, soket elektrik untuk memudahkan pengunjung menggunakan barangan elektronik dan juga bilik mandi serta tandas di dalam setiap bilik.

“Jika pengunjung mahu rasa seperti tinggal di dalam khemah sebenar mereka boleh mengambil Safari Tent yang dikelilingi kanvas, bezanya kelengkapan asas semua ada di dalam bilik termasuk mempunyai perkhidmatan ‘room service’ untuk tempahan makanan.

“Tempat ini juga sering disewa untuk pelbagai acara seperti perkahwinan, fotografi, yoga, Zumba, kem bina semangat (team building) syarikat dan jabatan kerajaan serta pelbagai lagi.

“Biasanya pihak kami akan berbincang dengan pelanggan dan sebolehnya cuba memenuhi permintaan mereka mengikut kesesuaian bajet masing-masing,” ujar Eugene.

Lebih menariknya, sayuran dan ulaman yang dihidangkan dalam makanan di kafe Boulder Valley Glamping ditanam secara organik oleh kakitangannya.

Sekadar informasi, Boulder Valley Glamping mula dibuka pada 2014, tetapi kini pengurusannya telah diambil alih oleh DXN Holdings Berhad sejak 2019.

Buat mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman bersama alam semulajadi di sini boleh membuat tempahan menerusi laman web, https://bouldervalleyglamping.com.my .

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath