Sekian lama berebut wilayah yang mendapat jolokan syurga dunia dan setanding New Zealand hingga pernah berlaku pertumpahan darah antara India dan Pakistan, ternyata hari ini keberanian Pakistan mengisytihar Kashmir milik Islamabad, Pakistan.
Lokasi indah yang pernah dijadikan penggambaran filem hits Bajrangi Bhaijaan lakonan Salman Khan dan Munni ini pasti masih melekat di jiwa penonton yang bukan saja tertarik dengan jalan ceritanya tetapi lokasinya yang cukup indah.
Bacalah perkongsian dari pensyarah Abdul Muein Abadi yang juga Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda mengenai isu ini.
1.Sejarah baru tercipta apabila Perdana Menteri Pakistan Imran Khan mengisytiharkan bahawa Kashmir yang dikawal India dan mempunyai majoriti penduduk beragama Islam sebagai wilayah milik Pakistan.
2. Imran Khan membuat perisytiharan ini melalui peta politik Pakistan yang baru menjelang setahun selepas New Delhi di bawah rejim nasionalis Hindu BJP pimpinan Narendra Modi membatalkan Artikel 370, sekali gus memansuhkan status autonomi di Jammu dan Kashmir.
3. India sebelum ini turut melakukan pindaan kepada Akta Kewarganegaraan 1955 pada 12 Disember lalu yang bertentangan dengan prinsip republik berkenaan, yang menjadikan ‘agama’ sebagai asas kewarganegaraan.
4. Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) yang baru ini hanya memberi kewarganegaraan kepada golongan pendatang beragama Hindu, Sikh, Buddha, Jains, Parsis dan Kristian dari Bangladesh, Afghanistan, dan Pakistan. Mereka yang beragama Islam diharamkan.
5. Menurut Imran Khan, “Hari ini ialah hari yang bersejarah buat Islamabad. Kashmir akan menjadi sebahagian daripada Pakistan dan peta ini adalah langkah pertama untuk merealisasikannya”.
6. Perdana Menteri Pakistan itu turut menggelar India sebagai ‘penindas dan penceroboh’ di mana dalam peta terkini Pakistan menandakan wilayah pertikaian tersebut sebagai ‘diduduki secara haram oleh New Delhi’.
7. Untuk rekod, pada Februari 2019 Pakistan telah menembak jatuh dua jet pejuang India MIG21 Bison yang menceroboh ruang udara mereka di Kashmir buat pertama kalinya sejak Perang Pakistan-India 1971.
8. Langkah berani Pakistan ketika itu sememangnya tepat kerana India telah bertindak di luar batasan dengan bukan sahaja mencerobohi ruang udara Pakistan, bahkan melakukan empat pengeboman besar-besaran dengan saiz 1000 kilogram bom (SPICE 2000 buatan Israel yang juga digunakan di Syria) di wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan, iaitu di kampung Jaba, 10 kilometer dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
9. Ternyata, langkah terbaru Imran Khan mengisytiharkan Kashmir sebagai wilayah Pakistan ini disokong majoriti warga Kashmir sendiri yang telah dihapuskan autonomi mereka oleh India.
Oleh: Abdul Muein Abadi
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.