Sekilas pandang memang seperti kawasan pelancongan di kepulauan Jeju, Korea Selatan. Tapi rupa-rupanya, ini merupakan tarikan serba indah baharu yang diperkenalkan di negara jiran, Singapura!
Lokasi yang dikenali sebagai The Changi Bay Park Connector atau PCN ini dibina sepanjang 3.6 kilometer dan baru saja meraikan pembukaannya pada 22 Januari 2022 lalu. Seperti dijangka, ia telah bertukar tular dalam kalangan remaja Singapura kerana foto-foto yang dimuat naik oleh warganet di sana.
Ia jauh berbeza dengan tarikan kebiasaan yang sudah sinonim dengan kawasan metropolitan di Singapura. Lupakan sebentar tugu Merlion dan taman tema Universal Studio Singapura.
Sebaliknya tumpukan perhatian kepada kawasan pantai negara tersebut yang menjadi lokasi PCN.
Tidak sangka, Singapura juga mempunyai keindahan alam yang terbentang luas seperti. Dengan pembukaan PCN, ia lebih terserlah sehingga diibaratkan sebagai ‘kepulauan Jeju Singapura’.
Dari beberapa sudut, memang foto-foto yang dimuat naik oleh warganet kelihatan seperti babak daripada K-drama dan filem Korea popular yang pernah menjadikan kepulauan Jeju sebagai lokasi penggambaran.
Sebagai contoh, lihat saja kepada foto-foto yang dikongsikan oleh gadis ‘cyclist’ yang dikenali sebagai Tiffany Tan ini sewaktu kunjungannya ke PCN baru-baru ini menerusi grup Facebook, SG PCN Cyclist.
Lokasi pertama ini terletak di atas jambatan khas untuk penunggang basikal yang menghubungkan Changi Coast Road dan Tanah Merah Coast Road di Changi Bay Point. Pada jarak 80 meter, pemandangannya terutamanya pada waktu senja amat menakjubkan mata yang memerhati.
Turut kelihatan adalah beberapa poin hentian yang diperbuat daripada platform kayu untuk korang berehat sebentar.
PCN juga diminati ramai disebabkan kawasan tepi persisiran pantainya yang lebar dan panjang bagi keselesaan pengunjung.
Tambahan pula dengan tanaman ‘liar’ hasil kreativiti pereka landskapnya, terus hilang segala tekanan di minda tatkala menghabiskan masa di sini.
Menariknya, pembinaan PCN ini tidak tamat setakat di sini saja. Khabarnya, PCN akan terus disambung hingga ia mencecah jarak 150 kilometer pada tahun 2035 kelak lalu menjadikannya sebagai sambungan rekreasi terpanjang di Singapura.
@notkaisiangsin jeju island from value store vibes🤪. #foryou #tiktoksg ♬ original sound – Flyysoulja
Sekiranya korang merupakan penunggang basikal tegar, sebaik saja sempadan di antara Malaysia-Singapura dibuka untuk pelancong, why not korang bawa bersama basikal lipat dan alami PCN yang akan melintasi poin berbeza seperti Rower’s Bay Park, Sengkang Riverside Park, East Coast Park, Singapore River dan Berlayer Creek. Mesti korang tidak akan menyesal punya!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.