Loveta Muncul Dengan Kempen Wajah Baharu. Anzalna Terima Tawaran Demi Arwah Siti Sarah

Share

Tepat pada masanya untuk melangkah ke tahun baharu, jenama tudung Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin, tidak lagi menoleh kebelakang apabila meneruskan kerjasama strategik bagi membangunkan jenama Loveta merentas sempadan dunia.

Menerusi kempen Loveta X Anzalna, Loveta berbesar hati mengumumkan kerjasama bersama pelakon, selebriti popular dan juga finalis Dewi Remaja 2009/2010 iaitu Anzalna Nasir sebagai wajah baharunya.

Loveta X Anzalna juga menampilkan  Anzalna Shawl yang merupakan shawl semi instant dengan 11 koleksi warna menarik yang bermula 5 Januari yang lalu. Menariknya lagi, mereka menghasilkan produk kali ini dengan mengikut citarasa pelakon berkenaan yang mahukan satu tudung yang mudah dipakai namun mempunyai kelas dan standard tersendiri

Koleksi Loveta X Anzalna menawarkan 11 pilihan warna hijab

Menurut Anzalna, hatinya terbuka untuk bekerjasama dengan kempen Loveta X Anzalna kerana mahu membantu mengembangkan legasi yang ditinggalkan oleh arwah Siti Sarah.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ratasya Empire (M) Sdn. Bhd., Siti Fatimah Suberi yang juga ibu tiri Siti Sarah mendedahkan, pihaknya hanya meneruskan hasrat arwah yang mahukan Anzalna sebagai wajah jenama berkenaan.

“Ketika mengadakan perbincangan memang ada beberapa nama artis lain, namun Anzalna adalah pilihan pertama dan saya terus bertanya kepadanya tanpa pergi kepada artis yang lain terlebih dahulu.

“Selain meneruskan hasrat arwah, pemilihan Anzalna ialah hasil persetujuan semua pihak dalam syarikat dan dialah orang yang tepat untuk kempen terbaharu ini,” ujar Siti Fatimah.

 

Menurut Anzalna, semasa hayat masih ada, Siti Sarah pernah beberapa kali mahu melamarnya untuk bekerjasama dengan produk kosmetik keluarannya.

Namun, hasrat berkenaan tidak kesampaian sehinggalah penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos tahun lalu selepas melahirkan anak keempat Ayash Affan dalam keadaan dijangkiti virus Covid-19.

Published by
Nana