Anak muda Palestin sama seperti remaja lain yang memiliki cita-cita tinggi. Belajar hingga ke luar negara dan kemudian memperoleh kerja yang baik.
Begitu jugalah impian pemuda yang dikenali dengan nama Yousef Anees Abu Hashem ini. Dia merupakan seorang pelajar Stanford dan kini sedang berada dalam tahun senggang.
Disebabkan sekatan yang dikenakan oleh Israel terhadap Gaza, dia terpaksa menangguhkan pengajian sementara waktu. Ditambah pula dengan kekacauan yang berlaku sekarang, dia sendiri tidak pasti akan nasib yang bakal menimpa dirinya.
Selain itu, Yousef juga meluahkan perasaan kecewa terhadap universitinya yang memandang ringan hal penindasan Israel terhadap Palestin.
Berikut adalah luahan hatinya dalam nukilan panjangnya di hantaran Instagram.
“Kepada Pelajar Stanford yang dihormati,
“Saya Yousef, seorang pelajar baru yang berada di tahun senggang pengajian. Walaupun ramai di antara anda berpendapat tahun senggang adalah masa yang baik untuk berehat, tetapi itu bukanlah yang terjadi dalam kes saya. Dan itu hanya untuk satu sebab: menjadi penduduk Gaza.
“Sekarang ini, kami berada di bawah serangan udara Israel yang tidak dapat dijelaskan untuk hari ke-9 berturut-turut, dan tiada yang tahu jika kami akan hidup malam ini.
“Dan jika saya berjaya hidup, tiada yang boleh menjamin kemampuan saya untuk keluar dari sekatan terhadap Gaza untuk mula belajar di Stanford (sebab itulah saya mengambil masa senggang; penjajahan ini yang tidak memberi saya izin untuk pergi!).
“Sementara itu, beberapa pelajar dari universiti dan kelas yang sama dengan saya sedang berkhidmat di Israel Defence Forces; meletupkan rumah, melukakan lagi trauma yang ada dalam diri saya dan keluarga saya. Dan mereka akan menyertai anda pada musim luruh pengajian nanti.
“Sekiranya saya tidak berada di Stanford pada tahun yang akan datang disebabakan apa alasan sekalipun, sila ingat saya sebagai bukti jelas mengenai isu apartheid dan pembunuhan beramai-ramai yang sedang dihadapi rakyat Palestin.
“Sementara itu, universiti kami – dan saya masih bangga menjadi sebahagian daripadanya – menutup sebelah mata terhadap hak asasi rakyat Palestin dan masih mempunyai hubungan dengan syarikat-syarikat dari penempatan Israel haram antarabangsa yang datang dan merekrut di kampus kami.”
“Saya tahu Stanford tidak dapat melakukan banyak perkara, dan saya tahu sekadar berkata-kata tidak akan mengubah apa-apa. Akan tetapi pendirian itu penting dan ia menjadi indikasi bagaimana tindakan bermula.
“Sila periksa pautan di bio (Instagram) saya yang akan membawa anda terus ke e-mel yang ditulis oleh Students for Justice di Palestin. Anda memerlukan beberapa saat untuk menghantarnya dan anda boleh menyuntingnya sendiri.
“Sekiranya saya bukan di kalangan anda pada musim luruh yang akan datang, ingatlah saya, ingat kisah saya, saya bukan nombor, nama saya Yousef, saya suka CS, Sistem Simbolik, bioengineering, dan psikologi. Dan saya selalu ingin belajar mengenai semua perkara ini di Stanford.”
View this post on Instagram
Untuk bergelar pelajar di Universiti Stanford bukanlah mudah. Ia merupakan salah sebuah universiti ulung di Amerika Syarikat. Semoga cita-cita Yousef tercapai dan dipermudahkan oleh Allah SWT.
Dan kita sebagai warga dunia, teruslah berbicara tentang Palestin dan kekejaman Israel. Ini mampu memberikan kesedaran tentang apa yang sebenarnya terjadi.
Sumber & Gambar: Instagram Yousef Anees Abu Hashem