Jika di Malaysia hilang lori Gardenia yang sepatutnya diedarkan sekitar Kuala Lumpur dan lori dijumpai kembali di Kemaman (berita baiknya semua roti ditemui dengan selamat. Mungkin pencurinya nak balik kampung, hikz) ternyata di Belanda lebih hebat lagi.
Ini kerana muzium yang menyimpan lukisan karya agung karya Vincent van Gogh dilaporkan telah hilang walaupun Belanda diumumkan lockdown bagi mengelak penularan COVID-19 (seakan sama seperti kes menimpa bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq yang melaporkan wang lebih RM200,000 hilang dari peti besi simpanan yang mana rumah itu hanya diduduki olehnya dan pembantu rumahnya sahaja. Pihak polis sedang menyiasat kes ini).
Dalam kejadian semalam, lukisan bernilai jutaan ringgit ini dilaporkan hilang dari Muzium Singer Laren di sebelah timur Amsterdam. Pihak muzium melaporkan karya yang hilang ialah “Spring Garden” yang dilukis oleh lagenda Vincent van Gogh di mana muzium ditutup berikutan perintah kerajaan untuk mengelak wabak corona virus merebak dengan cepat.
Menurut Ketua Pengarah Museum Evert van Os, ahli Lembaga pengarah yang membiayai koleksi pasangan Amerika, William dan Anna Singer berasa marah, terkejut dan sedih berikutan kecurian yang berlaku. Masa yang sama Pengarah Muzeum Singer Laren, Jan Rudolph de Lorm berkata, kecurian ini satu kes luar biasa dan berasa kesal dengan kehilangan lukisan tersebut.
“Saya kesal kejadian ini. Ia satu lukisan indah dilukis oleh pengkarya terhebat tetapi dicuri dan hilang dari tempatnya. Ia satu kejadian yang amat buruk bagi Museum Groninger dan sangat buruk untuk Singer.
“Hal ini sangat mengerikan bagi kita semua kerana masyarakat tidak lagi boleh menikmati, mendapat inspirasi kerana itu antara karya hebat tinggalan pelukis lagenda Vincent van Gogh. Lebih teruk ia hilang ketika negara dilanda musibah berikutan wabak corona virus,”katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan lanjut pihak polis mendapati pencuri memecahkan pintu kaca untuk masuk ke muzium. Mereka bergegas menuju ke lokasi kerana penggera berbunyi dan setibanya di muzium pihak polis mendapati lukisan itu sudah hilang dari kedudukan asalnya. Siasatan forensik dilakukan dan mereka akan meneliti rakaman video yang ada di muzium tersebut.
Musim lockdown COVID-19 ini nampaknya ramai pencuri mengambil kesempatan berikutan tidak ramai orang berkeliaran. Hati-hati ya kerana musibah boleh berlaku dalam situasi tidak kita jangkakan.