Dua tahun lepas, wakil dari negara kita Uyaina Arshad telah menjadi juara bagi pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018 yang julung kali dianjurkan oleh stesen TV Indosiar, Jakarta.
Untuk pengetahuan korang, Puteri Muslimah Asia adalah pertandingan kecantikan wanita Muslim pertama di Asia yang membariskan finalis dari negara-negara Asia seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand, Filipina dan beberapa buah negara lagi.
Untuk edisi tahun ini, pemenang tempat keempat Dewi Remaja 2019, Syamira Izzati telah pun dipilih menjadi wakil bagi Puteri Muslimah Asia 2020.
“Alhamdulillah sebenarnya saya pun tidak sangka akan terpilih menjadi finalis. Sebelum ini, ramai yang tag saya di Instagram untuk memberitahu tentang sesi uji bakat yang telah dianjurkan oleh Pak Ngah Production. Pihak mereka juga ada menghubungi saya untuk datang ke audition tersebut, dan tak salah jika saya cuba kan?”
“Apa yang berbezanya, uji bakat ini tidak seperti sesi casting Dewi Remaja yang saya pergi sebelum ini. Ia dijalankan lebih santai dan beberapa kru dari stesen TV Indosiar telah datang untuk merakamkan footage peserta dan bertanyakan soalan-soalan seperti latarbelakang diri. Cuma, kami turut diuji untuk mengaji. Mereka memang menetapkan syarat untuk finalis yang boleh pandai mengaji sahaja,” jelas Syamira.
Bakal berangkat ke Jakarta pada akhir Julai nanti, Syamira memohon agar rakyat Malaysia mendoakan kejayaannya disana.
“Kalau kita masuk mana-mana pertandingan, sudah tentu kita mahu lakukan yang terbaik. Selain itu, saya juga ingin menimba ilmu dan pengalaman di tempat orang. Seramai 28 peserta dari 9 negara akan berentap dalam program ini, sudah tentu banyak perkara yang boleh saya pelajari sepanjang menjalani pencarian tersebut,”
Syamira yang juga merupakan seorang hos di sebuah rancangan siaran televisyen RTM dan dalam masa yang sama menggalas tanggungjawab sebagai seorang pelajar bersyukur kerana perjalanannya di dalam program tersebut mendapat sokongan daripada pihak produksi dan pensyarah universiti.
“Alhamdulillah saya menerima sokongan daripada pihak produksi yang akan menyambung penggambaran sebaik selesai sahaja urusan saya di Jakarta nanti. Untuk jadual kelas pula, saya telah minta izin pensyarah untuk mengambil cuti dan mereka juga turut memahami serta mengizinkan saya untuk tidak hadir ke kelas,” jawab Syamira lagi.