Pemain bola sepak remaja, Luqman Hakim Shamsudin baru-baru ini telah diberikan peluang untuk bermain dalam perlawanan kelabnya, KV Kortrijk menentang Anderlecht.
Dalam perlawanan pada hujung minggu lalu itu, pemain berusia 18 tahun itu dimasukkan pada minit ke 74 bagi menggantikan rakan sepasukan, Peter Golubovic.
Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol, namun perlawanan tersebut mencatatkan sejarah dalam kariernya sebagai pemain bola sepak apabila dia menjadi pemain bola sepak tempatan PERTAMA yang bermain untuk sebuah liga Eropah.
Malah dalam perlawanan itu, Luqman banyak membantu membuat hantaran kepada rakan pasukan dan menunjukkan potensi yang baik untuk kembali diturunkan pada perlawanan akan datang.
Menariknya, aksi sulung Luqman itu juga dikatakan mampu membuka peluang yang lebih cerah untuknya termasuklah impian bagi beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dalam temuramah bekas pengurus pasukan Selangor, Zakaria Rahim bersama rakan media di Bharian, kemasukan Luqman untuk bermain bagi KV Kortrijk pada hujung minggu lalu telah membuatkan dia semakin hampir dengan syarat utama untuk mendapat visa bekerja Tier 2 atau Tier 5 oleh Imigresen United Kingdom.
Katanya, “Untuk pemain Malaysia yang ingin bermain di mana-mana liga profesional di UK, dia perlu sekurang-kurangnya bemain di mana-mana liga utama di negara kesatuan Eropah.
“Luqman secara teknikalnya sekarang sudah selangkah layak bagi mendapatkan permit bekerja dan bermain bola sepak di bawah kategori Creative or Sporting Visa.
“Cuma, dia perlu mendapat lebih minit permainan tidak kira sebagai pemain utama atau simpanan dan dia perlu meningkatkan lagi prestasinya,” jelasnya.
Walaupun Luqman kini bersama dengan kelab Belgium itu dengan kontrak 5 tahun, sekiranya ada tawaran dari mana-mana kelab di UK atau liga lain di UEFA, Zakaria berpendapat bahawa kelabnya itu pasti bersedia untuk menjual kontraknya kepada kelab yang berminat.
Wow!
Apapun, sebagai rakyat Malaysia kita wajar memberikan lebih sokongan kepada pemain remaja ini. Mana tahu, dia akan lebih mengharumkan nama negara selepas ini.