“Maaf Marah Dr Hari Tu, Saya Budak Baik”, Doktor Terima “Surat Cinta” Dari Pesakit

Share

To : Dr Hanafi bin Yahya

Assalamualaikum doktor. Saya minta maaf kerana marahkan doktor hari tu. Saya terlalu sakit dan takut. Saya bukan budak nakal. Sepatutnya saya budak baik. Terima kasih rawat saya.  

From Adam Amir Hakim.

Alahai, tingginya budi bahasa mu dik. Siap minta maaf sebab dah termaki doktor yang mahu menyunatkannya tempoh hari.

Sudah pastinya doktor akan jadi terharu. Lihat apa respon doktor ini bila dapat surat cinta dari pesakitnya.

Kepada adik Adam ;

”Jangan risau.. doktor tak marah dan maafkan awak. Doktor faham perasaan awak yang tengah risau dan takut. Doktor pun dulu melalui pengalaman sunat sama macam awak. Doktor tahu awak seorang budak yang baik.’

Semoga adik Adam cepat sembuh dan menjadi pewaris negara yang sentiasa berbakti kepada masyarakat. Amin.

Menurut Dr Hanafi Yahya, semalam dia menerima surat cinta dari seorang pelajar yang dia sunatkan minggu lalu. Dan surat permohonan maaf ini dilakukan ketika pelajar ini membuat rawatan susulan di klinik.

Memetik laporan Harian Metro, Dr Hanafi Yahya, 35 tahun berkata, dia menerima surat cinta dari seorang pelajar Adam Amir Hakim, 7 yang menyerahkan surat itu kepadanya semalam ketika mengunjungi klinik bagi pemeriksaan susulan selepas dikhatankan minggu lalu.

Inilah surat cinta dari Adam untuk Dr Hanafi. Syahdukan. Baik je budi bahasanya minta maaf balik.

Jelas Dr Hanafi, dia masih ingat kejadian minggu lalu apabila pelajar cilik ini memarahinya sejak mula proses bersunat mahu dilakukan.

“Budak ini marah saya, kata saya jahat, halau saya keluar dari bilik itu (bilik khatan), malah dia jerit kata dia nak pulang dan bencikan doktor.

“Semalam, saya terima surat itu ketika dia datang ke klinik untuk membuat rawatan susulan dan saya terharu apabila membaca surat dan pengakuan ikhlasnya.

“Dia memohon maaf kerana marahkan doktor dan memaklumkan dirinya takut dan sakit ketika bersunat. Dalam surat itu juga dia maklumkan dirinya budak yang baik serta mengucapkan terima kasih kepada doktor kerana merawatnya.

“Sepanjang kerjaya sebagai doktor, inilah kali pertama saya terima surat permohonan maaf daripada seorang pesakit yang menerima khidmat di klinik,” katanya yang juga pengasas Klinik Doktor Bergerak (DOC MOVE) di Tapah Road, Tapah.

ARTIKEL BERKAITAN :Terima kasih dik hiburkan hati rakyat Malaysia.Ipan dapat pergi China lepas sunat

Dr Hanafi berkata, beliau hanya tersenyum ketika murid berkenaan memarahinya dan menerangkan kepada murid berkenaan serta ibu bapanya bahawa prosedur dilakukan di kliniknya adalah biasa.

“Bagi saya murid ini mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi kerana dia sedar apa yang patut dilakukan apabila melakukan kesalahan,” katanya.

Menurutnya, tugas mengkhatankan kanak-kanak agak mencabar kerana pelbagai tindakan dan kata-kata dikeluarkan oleh kanak-kanak disebabkan rasa takut terutama selepas mendengar pelbagai cerita yang sengaja diada-adakan untuk menakutkan mereka.

Di fbnya, Dr Hanafi memuat naik gambar pesakit-pesakit yang sudah berjaya dikhatankan di kliniknya.

Dr Hanafi memang dikenali di daerah Muallim sejak memperkenalkan perkhidmatan DOC MOVE dan Kad Anak untuk anak yatim yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Muallim.

Kad Anak memberi peluang kepada anak yatim menerima rawatan dan ubat-ubatan secara percuma di klinik milik isterinya, Dr Fariza Hanim Shahir, 35, yang terletak di Bandar Behrang 2020, selain menikmati diskaun di premis perniagaan yang berdaftar dalam perkhidmatan ini.

Malah seperti kata Dr Hanafi di fbnya, dia menjelaskan sesetengah kanak-kanak yang takut biasanya akan melakukan tindakan ini. Iaitu menangis, marah, maki, carut, tendang, cubit, gigit, terkencing, kentut dan sebagai doktor dirinya tidak pernah marah atau berkecil hati kepada mereka.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros