Viral di media sosial tentang penyakit Polio setelah selama 27 tahun negara kita bebas daripada virus ini.
Terbaru, seorang bayi yang berusia 3 bulan disahkan dijangkiti virus tersebut akibat mengalami demam diikuti lemah anggota badan. Pihak hospital telah mengesahkan bayi dari Sabah itu dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1).
Hasil ujian pengesahan dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Makmal Serantau Polio di Australia, virus itu mempunyai kaitan genetik dengan virus polio dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di Filipina. (Harian Metro)
Apa itu polio?
Mungkin ramai yang masih tidak tahu apa itu polio. Menurut myhealth.gov.my, polio atau poliomyelitis adalah akibat jangkitan virus polio yang merosakkan sistem saraf pusat. Virus ini lazimnya menjangkiti kanak-kanak bawah 5 tahun yang belum mendapat pelalian. Jangan tak tahu, virus ini juga boleh menjangkiti orang dewasa.
Agen penyebab: Poliovirus jenis 1, 2 dan 3 (genus Enterviruses). WPV jenis 2 telah dibasmi semenjak tahun 1998.
Cara jangkitan: Berlaku dari orang ke orang melalui transmisi faecal-oral. Ini bermaksud kontaminasi dengan najis dari individu yang dijangkiti. Namun, wabak polio jarang berlaku disebabkan oleh makanan atau air yang tercemar kerana 95% kes yang dijangkiti tidak akan mengalami gejala.
Jangkitan virus polio biasanya berlaku dalam saluran gastrousus (GI) dan merebak ke kelenjar limfa setempat. Dalam kes tertentu ia merebak ke sistem saraf pusat.
Tempoh pengeraman: 7 hingga 14 hari sebelum gejala timbul. Ia boleh berlaku seawal 3 hari.
Simptom polio
⦁ Sebanyak 95% kes tidak menunjukkan gejala dan tubuh membentuk antibodi memberi perlindungan sepanjang hayat
⦁ 5% lagi menunjukkan tanda dan gejala selesema dan kemudiannya pulih semula
⦁ Kurang dari 1% kes yang dijangkiti virus polio menyebabkan penyakit lumpuh yang menjejaskan sistem saraf
⦁ Tanda dan gejala ringan yang terdapat dalam 5% pesakit yang dijangkiti adalah demam, malaise (letih dan lesu), sakit kepala, loya dan muntah
⦁ Pesakit boleh menjadi lumpuh sekiranya virus ini menyerang sistem saraf pusat. Pesakit akan mengalami sakit otot dan kaku di bahagian leher dan belakang.
⦁ Lumpuh biasanya tidak simetri (bukan pada kedua-dua belah anggota) dan pesakit mengalami demam sebelum lumpuh peringkat awal. Kaki lebih kerap terjejas berbanding tangan
Komplikasi & Rawatan
Komplikasi yang berlaku bukanlah sesuatu yang biasa. Otot pernafasan dan/atau otot menelan menjadi lumpuh sehingga boleh mengancam nyawa. Kelumpuhan anggota badan adalah kekal.
Tiada rawatan khusus tetapi rawatan diberikan semasa fasa akut sehingga ke peringkat komplikasi lumpuh. Peralatan pernafasan diperlukan bagi pesakit yang mengalami kelumpuhan otot pernafasan. Terapi fizikal dilakukan untuk memaksimumkan fungsi otot selepas menjadi lumpuh bagi mencegah kecacatan lain yang muncul lewat.
Panduan mencegah jangkitan
Apa yang korang boleh buat untuk mencegah daripada jangkitan polio adalah seperti berikut:
⦁ Basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas
⦁ Pastikan sanitari baik, gunakan tandas dengan sistem kumbahan yang baik
⦁ Didihkan air minuman atau minum air yang dibotolkan atau air berkarbonat. (pastikan pembalut penutup botol tidak rosak)
⦁ Makan makanan yang tidak memerlukan banyak pengendalian. Kupas kulit buah-buahan. Elakkan salad atau ulam-ulaman (sayuran yang tidak dimasak)
⦁ Memakan hidangan bufet sebaik sahaja dihidang
⦁ Elakkan makan makanan berbungkus yang dijual di tepi jalan
Jangan ambil mudah tentang penyakit ini, lebih-lebih lagi buat mereka yang sudah mempunyai anak. Pastikan anak-anak menerima polio (IPV) yang lengkap iaitu ketika bayi berumur 2 bulan, 3 bulan, 5 bulan dan imunisasi tambahan ketika bayi berumur 18 bulan.
Program Imunisasi Kebangsaan adalah percuma untuk warganegara dan boleh didapati di semua klinik kesihatan. (Kementerian Kesihatan Malaysia)
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI