Macam Mana Nak Tahu Pembuangan Kerja Kita Ikut Undang-Undang Ke Tak? Peguam Kongsi Info

Share

Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah pun memasuki fasa ke tiga dan akan berakhir 28 April ini. Berbaki lagi 5 hari sebelum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman baru sama ada PKP ini disambung atau tidak, sudah pasti ada di antara kita tertanya-tanya, mungkinkah PKP akan bersambung atau berakhir sudah.

Masa yang sama semasa PKP ini, sudah banyak syarikat membuat pengumuman akan memotong beberapa peratus gaji pekerja, meminta pekerja mengambil unpaid leave dan paling menyedihkan jika diberi notis pemberhentian kerja.

Namun seandainya nama korang tersenarai antara yang diberhentikan kerja, ini sesuatu yang korang kena tahu ya adakah pembuangan korang itu mengikut undang-undang atau pun tidak.

Peguam  Mohamad Nasruddin Ab Rahman, 26 tahun dari Baharuddin Ali & Co berkongsi ilmu mengenai  hak pekerja yang perlu korang tahu kalau nama disenaraikan untuk diberhentikan di musim PKP nie.

Baca maklumat yang mungkin boleh korang fahamkan kalau nama tersenarai diberhentikan.

MACAM MANA NAK TAHU SAMA ADA PEMBUANGAN KERJA ITU MENGIKUT UNDANG-UNDANG ATAU TIDAK?

Majikan ada hak untuk buang pekerja. Itu memang tidak dapat kita dinafikan. Tapi adakah pembuangan kerja itu didasarkan dengan alasan yang adil dan munasabah?

Sepanjang tempoh PKP yang telah dilanjutkan sehingga 28 April ini, sudah ramai daripada kalangan kita yang telah kehilangan pekerjaan mereka.

Dan saya pasti, rata-rata alasan pembuangan kerja yang diberikan kepada pekerja, khususnya dalam keadaan sekarang ataupun pada masa-masa lain:-

  1. a) syarikat sedang mengalami kerugian
  2. b) Jawatan/kerja jadi ‘redundant’.

Sekali imbas, alasan-alasan di atas memang logik. Tetapi sejauh mana kebenarannya dan bagaimana untuk kita tahu alasan yang diberikan betul atau tidak?

 

PEMBUANGAN KERJA ATAS ALASAN SYARIKAT MENGALAMI KERUGIAN

Sekiranya anda dibuang kerja dan alasan yang diberikan kepada anda oleh syarikat adalah disebabkan syarikat sedang menanggung kerugian dan perlu kurangkan kos, sila tanya soalan-soalan ini dalam diri anda:-

  1. Betul ke syarikat memang mengalami kerugian?
  2. Jika betul, ada ke bukti seperti penyata akaun syarikat yang menunjukkan kerugian?
  3. Pernah ke dimaklumkan sebelum ini bahawa syarikat sedang mengalami kerugian?
  4. Pernah ke ada apa-apa kaedah penjimatan yang dilakukan oleh syarikat sebelum ini?
  5. Adakah syarikat ada membuat pembayaran-pembayaran lain yang tidak penting?
  6. Adakah elaun pengarah-pengarah (untuk syarikat besar) pada ketika itu ada dinaikkan?
  7. Adakah ada bukti ada perbincangan dalam ahli lembaga syarikat tentang perlunya dilakukan pembuangan kerja sebelum ini?
  8. Adakah syarikat ada mengambil pekerja baru dalam masa terdekat ini?

Jika banyak soalan-soalan di atas berakhir dengan jawapan yang negatif, mungkin anda perlu membuat laporan ke JPP untuk pembuangan kerja secara tidak adil.

PEMBUANGAN KERJA ATAS ALASAN ‘REDUNDANCY’

Jika majikan anda menamatkan perkhidmatan anda atas alasan kerja anda menjadi ‘redundant’ dan anda sudah tidak diperlukan lagi, sila tanya soalan-soalan ini dalam diri anda:-

  1. Apakah bukti syarikat ada melaksanakan ‘restructuring’?
  2. Selepas pembuangan kerja, adakah fungsi, tanggungjawab dan tugas anda masih lagi wujud?
  3. Selepas pembuangan kerja, adakah fungsi, tanggungjawab dan tugas anda diambil alih oleh orang lain?
  4. Adakah pihak syarikat pernah berbincang dan berunding dengan anda sebelum ditamatkan perkhidmatan?
  5. Adakah syarikat mengamalkan polisi FWFO (Foreign Worker First Out) dalam menamatkan perkhidmatan anda?
  6. Adakah syarikat mengamalkan polisi LIFO (Last In First Out) dalam menamatkan perkhidmatan anda ataupun syarikat ada polisi lain?
  7. Adakah terdapat apa-apa VSS (Voluntary Separation Scheme) ditawarkan kepada anda sebelum ditamatkan perkhidmatan?

Satu perkara penting yang anda perlu tahu tentang ‘redundancy’ adalah, sekiranya masih ada orang yang melakukan tugas dan fungsi anda selepas anda dibuang kerja, maka ‘redundacy’ tidak berlaku.

‘Redundancy’ yang sebenar adalah tugas, tanggungjawab dan fungsi anda itu memang tidak wujud langsung dan bukannya sekadar jawatan ataupun pangkat.

Jika anda merasakan banyak soalan-soalan di atas perlukan penjelasan daripada majikan anda, maka sebaiknya laporan ke JPP untuk pembuangan kerja secara tidak adil dibuat.

Semoga bermanfaat.

Published by
Almaswa Haji Che Ros