Belumpun kita selesai dengan jangkitan COVID-19, kini muncul pula kes kematian pertama yang dicatatkan akibat jangkitan Naegleria fowleri.
Lapor Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), jangkitan yang dikenali sebagai ‘amoeba pemakan otak’ ini telah meragut nyawa seorang warganegara Korea Selatan pada Selasa minggu lalu dan baru disahkan untuk pengetahuan umum pada 26 Disember 2022 (Isnin).
Ia mengesahkan kematian seorang lelaki dalam lingkungan usia 50-an yang baru sahaja kembali dari Thailand pada 10 Disember lalu setelah menetap di sana selama empat bulan.
ARTIKEL BERKAITAN : Bermula Fasa Endemik Di Malaysia, Senarai Lengkap Kelonggaran SOP Yang Anda Perlu Tahu
Mangsa dilaporkan berdepan dengan gejala seperti sakit kepala, demam, loya, muntah-muntah, sukar untuk bertutur dengan jelas dan rasa kaku pada bahagian lehernya pada hari beliau tiba di Korea Selatan (10 Disember 2022).
Pada keesokan harinya, mangsa terus dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan sebelum beliau meninggal dunia pada 21 Disember 2022.
Memetik laporan Korea Times, ini merupakan kes jangkitan Naegleria Fowleri pertama yang dilaporkan di Korea Selatan. Bayangkan sajalah, kali pertama Naegleria Fowleri mula dikesan adalah pada tahun 1937 di Virginia, Amerika Syarikat.
Info Tentang Naegleria fowleri
Sebagai info, Naegleria Fowleri merupakan sejenis amoeba atau mikroorganisma sel tunggal yang hidup dalam pelbagai ekosistem di seluruh dunia seperti tanah dan air tawar hangat seperti mata air panas, tasik dan sungai.
Amoeba ini memasuki sistem badan manusia menerusi hidung dan menuju ke bahagian otak serta merosakkan tisu organ tersebut.
Manakala, tempoh inkubasi bagi amoeba ini biasanya mengambil masa dua hingga tiga hari dan ia boleh menjangkau sehingga 15 hari.
Elak Berenang Di Kawasan Perairan
Susulan kes mengejutkan ini, pihak KDCA menasihatkan orang ramai agar tidak berenang di kawasan perairan yang pernah dikunjungi mangsa. Walaupun penyebaran dari manusia ke manusia agak mustahil, namun mereka enggan mengambil risiko.
Berdasarkan statistik, sebanyak 381 kes Naegleria Fowleri di seluruh dunia telah dilaporkan termasuklah di India, Thailand, Amerika Syarikat (AS), China dan Jepun setakat 2018. Pada masa yang sama, sebanyak 154 kes pula pernah dilaporkan dari 1962 sehingga 2021.
*
Jelas, Naegleria Fowleri amat berbahaya. Berdasarkan jumlah jangkitan sebelum ini, hanya empat pesakit terselamat dengan kadar kematian lebih dari 97 peratus, lapor Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat.
Sekali imbas, Naegleria Fowleri persis kes jangkitan zombie yang selalu kita saksikan menerusi drama dan filem antarabangsa, bukan?
ARTIKEL BERKAITAN: Bikin Cemas & Mendebarkan, Ini 9 Filem/Drama Korea Terbaik Bertemakan Zombie – REMAJA
Moga-moga jangkitan ini tidak akan tersebar secara meluas seperti jangkitan Covid-19.
SUMBER: Sinar Harian dan Korea Times
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.