Kehidupan sebagai remaja jauh menyeronokkan. Tak banyak pun kena fikir kecuali menjaga hubungan dengan Allah. Baik dengan mak ayah. Buat simpanan untuk masa depan selain lakukan hal-hal positif.
Lain dengan orang berkahwin. Ada hati isteri atau suami yang perlu dijaga. Kena tahu bagaimana nak ambil hati keluarga mentua. Perlu fikirkan bagaimana nak tambah pendapatan sebab nak bayar duit ansuran rumah dan kereta. Itu belum lagi perlu menjaga anak-anak selain banyak masalah lain.
Jadi memang senangkan jadi orang bujang. Tak banyak masalah kalau kita tak cari masalah itu datang. Paling utama semangat kena kuat, usaha perlu lebih dan tahu apa perlu dibuat.
Baca perkongsian pelajar Ijazah Sarjana Microbiologi dari Universiti Putra Malaysia, Leftenan Muda Akmal Hayat Abdul Karim (PSSTLDM) yang mengikuti cabaran menakluk Puncak Annapurna, Nepal antara gunung yang paling berbahaya di dunia dengan hanya berbasikal.
Inspirasi 10 wakil Malaysia dengan tiga darinya wanita membukti bahawa Malaysia Boleh dalam Ekspedisi Kayuhan Altitude Tinggi Annapurna Circuit pada 4-21 Mei tahun lalu di mana kesemuanya berjaya mengelilingi puncak Annapurna.
Di sebalik kejayaan dicapai, biar sudah lima bulan kejayaan manis dirasai, Akmal Hayat yang lebih senang dipanggil Hayat, menceritakan kembali bagaimana dia sebenarnya seperti menempah mautnya sendiri kerana pada ketinggian 3500 meter, dia diserang sindrom Altitude Mountain Sickness (AMS) di mana tubuhnya mulai kekurangan oksigen.
“Pada ketinggian 3500 meter, saya mulai mengalami tanda-tanda diserang AMS. Tak lalu nak makan. Terasa loya dan pening. Kami memang practice tidak membawa tong oksigen ke puncak bagi mengurangkan beban kayuhan. Masa yang sama, kami memakai baju tebal kerana cuaca sentiasa berubah-ubah. Anginnya terlalu sejuk. Bukan saja saya, tapi dua peserta juga sudah mulai alami AMS.
“Tapi saya tetap teruskan kayuhan sejauh 30 km sehari bagi menghabiskan ekspedisi ini. Mencapai tahap ketinggian 4200, muka saya mulai kebiruan. Apa yang saya makan semuanya dimuntahkan kembali. Tubuh memang sudah lembik.
“Tapi bila memandang ke puncak Annapurna, saya rasakan puncak itu sangat dekat di hati. Sepatutnya dalam peraturan pendakian, jika terkena serangan AMS, kita perlu turun ke bawah bagi mengelak rosiko kematian.
“Tapi saya memohon kepada Allah SWT, berilah saya peluang untuk mengelilingi dan menawan puncak Annapurna ini. Saya nekad untuk meneruskan kayuhan. Tapi baru sekali dua kayuh, pandangan saya semakin berat.
“Memandangkan circuit ke puncak amat sempit, kami perlu bergilir-gilir meneruskan kayuhan dengan amat perlahan. Ada ketika kami perlu memikul basikal di bahu kerana laluannya sangat sempit dan licin.
“Tapi inilah cabaran yang saya lakukan kepada diri sendiri. Dalam orang lain melihat saya seperti tidak boleh, saya tetap berbasikal juga. Alhamdulilah, akhirnya saya berjaya ke puncak pada ketinggian 5416 meter iaitu di Thorung La Pass.
“Kami memulakan kayuhan di Besisahar pada ketinggian 760 meter dan selepas sampai di puncak tertingginya, Thorung La Pass (5416 meter), kami kemudian menuruni puncak dari laluan berbeza dan tamat di Pokhara pada ketinggian 827 meter.
Ketika menamatkan kayuhan, hanya rasa syukur mampu saya ucapkan. Ya Allah, memang rasa bangga pada diri sendiri kerana saya akhirnya berjaya membuktikan tiada apa yang mustahil,” katanya berkongsi pengalaman.
Pelajar Sains ini memang sudah lama terlibat aktif dalam sukan berbasikal. Dia mencabar keupayaan diri kerana berat badannya mencecah 90 kg.
Di saat orang lain berasa mustahil kerana berat badan, Hayat akui dia tidak terfikir begitu. Dia mahu buktikan berat badan bukan halangan untuk berbuat sesuatu yang disukainya, kata anak bongsu dari lima beradik ini.
Baginya berat badan bukan soal tetapi semangat paling utama. Sebelum terpilih bersama 9 orang peserta ekspedisi ini, dia terpaksa bersaing dengan 116 peserta sebelum saringan demi saringan dilakukan.
“Setiap hari, kami disyaratkan perlu berbasikal sejauh 100. Selepas solat Subuh, saya mulai mengayuh dari kampus, UPM menuju ke Putrajaya. Pusing-pusing Putrajaya sebelum kembali semula untuk ke kuliah. Alhamdulillah, saya mampu mengurus masa dengan baik selama tiga bulan sebelum ekspedisi ini bermula.
Kongsi Hayat lagi, dari 116 yang datang, kemudian tinggal 20 peserta sebelum 10 terpilih mengikuti Ekspedisi Kayuhan Altitude Tinggi Annapurna Circuit di mana dia adalah peserta termuda sekali.
Bakal menamatkan pengajian Januari tahun depan, kata Hayat dia sudahpun ditawarkan oleh pensyarahnya untuk mengikuti Ijazah Kedoktoran Falsafah dalam bidang Sains yang amat diminatinya.