Hujan lebat yang melanda ibu kota petang tadi mengakibatkan banyak pokok tumbang sekaligus mengakibatkan seorang mahasiswi maut dihempap pokok tumbang di Universiti Malaya.
Dalam kejadian hujan lebat petang tadi beserta angin kencang, mangsa yang belum dikenal pasti namanya dan berasal dari negara China sedang berjalan di hadapan pintu masuk utama UM sekitar jam 5.25 petang sebelum sebatang pokok tumbang dan menimpanya. Sebuah kenderaan yang dipandu oleh pelajar wanita yang berada di lokasi sama turut remuk di bahagian belakang akibat dihempap pokok tumbang tersebut.
Laporan dari Berita Harian menyebut, Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, memaklumkan pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 5.31 petang, sebelum mengerahkan jentera dari Balai Bomba Seputih dan Balai Bomba Pantai ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian pada jam 5.44 petang mendapati mangsa yang dihempap pada bahagian tubuh disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Pada masa sama, pihak bomba turut membantu pemandu dan penumpang sebuah kereta jenis Proton Saga BLM, yang turut dihempap pokok berhampiran pintu masuk utama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.
Dua lagi kereta jenis Toyota Vios dan Perodua Myvi, tidak mempunyai penumpang yang parkir di kawasan berhampiran turut dihempap pokok.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM mengesahkan kejadian ini.
Berikutan insiden pokok tumbang di Pintu Pagar Kuala Lumpur Universiti Malaya (Gate KL), insiden tersebut telah menyebabkan kematian seorang mahasiswi warga asing dari China, berdasarkan maklumat yang diterima oleh Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) daripada Kenyataan Media Jabatan Bomba dan Penyelamat.
KMUM mengucapkan takziah di atas pemergian mangsa dan akan melakukan tindakan susulan dari segi bantuan dan sumbangan yang boleh diberikan kepada keluarga atau waris mangsa. KMUM sekali lagi menyeru semua mahasiswa/I supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan sewaktu ketidaktentuan cuaca yang sedang melanda Kuala Lumpur
Wanita gelandang nyaris maut dalam hujan lebat
Hujan lebat yang melanda ibu kota petang tadi turut mengakibatkan seorang gelandangan wanita yang berada di bawah jambatan nyaris maut apabila air dengan pantas naik tanpa sempat menyelamatkan dirinya.
Kecekapan pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang memberikan pertolongan selepas menerima aduan dapat menyelamatkan gelandangan dari maut dalam kejadian ini.
Memandangkan sekarang musim hujan lebat berserta ribut petir, berhati-hati ya. Kalau perlu menangguhkan seketika perjalanan pulang tunggulah kerana di ibu kota banyak pokok-pokok besar dan sudah tua.