[MAHIR BAHASA MELAYU] Apakah Polisemi?

Share

Polisemi ialah perkataan yang mempunyai banyak makna tetapi berbeza apabila digunakan dalam konteks/ayat yang berlainan. Lebih mudah lagi polisemi ialah kata yang mempunyai banyak makna (yang berbeza-beza) tetapi berkaitan, menurut konteks penggunaannya.

Contoh: kata mentah mempunyai set makna yang berikut :

(a) Masih muda (untuk buah-buahan)
(b) Tidak masak (masakan)
(c) Belum masak (makanan)
(d) Belum diproses (bahan galian dan lain-lain)
(e) Belum sempurna akal atau fikiran atau belum matang (untuk orang)

Ada beberapa sebab perkara ini boleh berlaku. Antaranya:

(1) Peluasan makna
Perkataan yang asalnya mendukung makna yang khusus diberikan maknanya yang lebih bersifat umum. Contoh: alamat, makna asalnya ialah butir-butir keterangan sesuatu tempat seperti alamat rumah tetapi kemudiannya diperluas makna kepada petanda.

(2) Penyempitan makna

Perkataan yang asalnya memiliki makna yang umum namun makna itu kemudiannya menjadi lebih khusus. Contohnya: Ustazah, makna asalnya ialah guru wanita tetapi disempitkan menjadi guru wanita yang mengajarkan mata pelajaran Pendidikan Islam sahaja.

Bagaimanakah untuk membezakan polisemi dari segi konteks/ayat dan berdasarkan fungsi? Polisemi merupakan satu set makna yang berbeza apabila digunakan dalam konteks yang berlainan. Contohnya: homonim – ketam. Makna ketam merujuk sejenis hidupan yang boleh dimakan manakala makna lain bagi ketam merujuk sejenis alat yang digunakan untuk menghaluskan permukaan kayu. Ejaannya sama tetapi berbeza dari segi konteks/ayat.

Sekiranya makna ditentukan berdasarkan fungsi pula, contohnya polisemi jatuh bersamaan maknanya dengan gugur, merosot, terbenam, tumbang, bankrap, tidak dapat bertahan dan menjadi (jatuh cinta). Makna jatuh tetap jatuh tetapi berubah apabila digunakan dalam situasi berlainan. Sinonim bagi jatuh ialah turun, sinonim bagi turun ialah jatuh berdasarkan makna.

Dalam tatabahasa bahasa Inggeris, satu perkataan mampu mempunyai beberapa makna serentak dan maknanya pula bergantung pada situasi perkataan itu digunakan, dikategori sebagai “homograf” iaitu mempunyai variasi makna yang berbeza-beza. Contohnya School merujuk sekolah. Sebenarnya school boleh sahaja merujuk unifikasi persamaan yang berlaku dalam kalangan individu.

School boleh merujuk sekumpulan ikan yang berenang bersama-sama (school of fish) atau digunakan bagi menggambarkan perbuatan, contohnya “menyekolahkan” dalam bentuk kata kerja. Justeru, tidak hairanlah jika kita sudah terbiasa menggunakan kata sekolah sebagai slanga dengan ayat, ‘kena sekolah’ maksudnya dileteri, dimarahi atau sebagainya.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh FARIDAH MOHAMAD SAAD. 

 

Published by
Penulis Jemputan