Pada umumnya, kita mengetahui bahawa ejaan yang tepat ialah “generasi” dan bukannya “jenerasi”. Namun begitu, boleh dikatakan lebih daripada 50 peratus pengguna bahasa tidak menyebut “g” dalam perkataan ini dengan bunyi “g” asal sebaliknya akan menyebutnya dengan bunyi “j” sehingga terhasillah sebutan “jenerasi”.
Sebagai pengguna bahasa Melayu yang bertanggungjawab, kita sepatutnya mengamalkan sebutan yang baku dalam pertuturan harian, baik dalam konteks rasmi mahupun dalam konteks tidak rasmi. Kepatuhan kita pada sebutan baku bukan sahaja akan menggambarkan penghormatan dan semangat kita terhadap bahasa kebangsaan malah seiring dengan usaha Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memartabatkannya.
Oleh sebab itu, dalam rencana pada kali ini, kita akan meneliti sebutan beberapa patah perkataan yang sering kita gunakan tetapi kerap disebut dengan sebutan yang salah.
Untuk perkataan “generasi” misalnya, bukan sahaja “g” perlu disebut dengan bunyi “g” sebagaimana kita menyebut “gigi”, malah kita juga wajib membezakan dua bunyi “e” yang berbeza pada perkataan ini. Suku kata yang pertama, iaitu “ge” sepatutnya disebut dengan bunyi e-taling, yakni bunyi “e” yang sama dengan perkataan “enak” atau “ekor” dan bukannya bunyi e-pepet, seperti “emak” atau “gemar”.
Suku kata yang kedua pula, iaitu “ne” wajib disebut dengan bunyi e-pepet, seperti dalam perkataan “nelayan”. Sebenarnya, jika kita rajin merujuk kamus, kita akan mengetahui sebutan yang baku, khususnya yang berkaitan dengan variasi bunyi “e” dalam perkataan bahasa Melayu. Kita wajib menjadikan Kamus Dewan Edisi Keempat ataupun kamus yang terkini, dan juga yang paling komprehensif, iaitu Kamus Dewan Perdana sebagai pegangan dan rujukan utama pada setiap masa.
Perkataan lain yang sering mengelirukan pengguna bahasa adalah seperti “erat”, “bestari”, dan “lestari”. Tahukah anda bahawa bunyi “e” dalam ketiga-tiga patah perkataan ini sebenarnya bunyi e-pepet seperti bunyi “e” dalam “emak” dan “beli”.
Kesimpulannya, tiada sesiapa lagi yang dapat memartabatkan bahasa kita melainkan diri kita sendiri. Maka, janganlah kita menyebut “j enerasi”, “teknoloji” atau “yuniversiti”. Jangan kita berasa risau akan kemungkinan kita ditertawakan apabila menyebut sesuatu perkataan, sebaliknya kita harus berasa bangga dan menyebut setiap perkataan dengan sebutan yang tepat dan baku.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasma Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Alex Leong Jun Wei
Sumber gambar utama: pexels.com/artembeliaikin