Hukum D-M digolongkan dalam Frasa Nama. Kerap kita mendengar orang berkata ‘goreng pisang’ untuk merujuk kepada frasa nama ‘pisang yang digoreng’. Seharusnya bentuk yang betul ialah ‘pisang goreng’ kerana kita merujuk kata nama ‘pisang’ sedangkan perkataan ‘goreng’ merujuk kata kerja ‘goreng’ dan merupakan penerang bagi perkataan ‘pisang’ dalam frasa berkenaan.
Namun disebabkan kebiasaan pertuturan dan diterima, tambahan pula difahami oleh masyarakat, sesetengah kita menerimanya sebagai betul sedangkan hakikatnya dari sudut tatabahasa pembentukannya adalah salah. Sekiranya perkara ini tidak dikuasai dengan tahap pengetahuan dan penggunaan yang betul akan mengundang salah faham atau taksiran makana yang berbeza.
Hal yang sama dapat dilihat pada frasa ‘lain-lain hal’ sedangkan hakikatnya kita merujuk ‘hal’ bukannya ‘lain-lain’. Seharusnya pembetukan frasa berkenaan ialah ‘hal-hal lain’ kerana ‘hal’ tersebut yang banyak bukannya ‘lain’. Hal ini berpunca daripada kebiasaan sebutan dan ‘sedap’ bunyi sebutan yang diterima oleh penutur lisan bahasa Melayu kerana pada sesetengah keadaan sebutannya konsisten. Misalnya kita tidak akan menyebut ‘tua kelapa’ bagi merujuk ‘kelapa yang sudah tua’, sebaliknya dalam apa-apa juga keadaan kita akan menyebut ‘kelapa tua’ bagi merujuk frasa nama berkenaan.
Pembentukan Hukum D-M
D-M bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan ini unsur yang diterangkan itu merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur merangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua.
Pada dasarnya, terdapat peraturan tertentu untuk mengatur susunan kedudukan konstituen-konstituen kata nama dalam pembentukan frasa nama. Peraturan-peratran tersebut menentukan perkara yang hadir dahulu dan yang perlu hadir kemudian ataupun selepas konstituen pertama.
Misalnya apabila kita mahu merujuk pisang yang digoreng, seharusnya kita menyatakan ‘pisang’ sebagai kata nama yang mahu diterangkan barulah disusuli ‘goreng’ sebagai perkataan yang menerangkan pisang berkenaan. Maka, seharusnya susunan frasanya menjadi ‘pisang goreng’ bukannya ‘goreng pisang’ kerana ‘goreng pisang’ merujuk ‘goreng’ sebagai perkataan yang mahu diterangkan, iaitu kata kerja dan ‘pisang’ sebagai kata yang menerangkan perkataan goreng. Maka apabila disebut ‘goreng pisang’ kita seharusnya merujuk frasa kerja (perbuatan menggoreng pisang) bukannya frasa nama.
Dengan kata lain, dalam pembentukan hukum D-M, unsur yang ‘Diterangkan’ merupakan unsur inti yang diletakkan pada kedudukan pertama dan unsur yang ‘Menerangkan’ merupakan unsur penerang yang diletakkan pada kedudukan kedua. Contohnya:
BIL. | DITERANGKAN(D) | MENERANGKAN(M) | PENERANGAN FRASA |
1 | Hafiz | tukang rumah | Hafiz bekerja sebagai tukang rumah. |
2 | Orang | lelaki | Jantina seseorang itu ialah seorang lelaki. |
3 | Orang | muda | Orang yang masih muda. |
4 | Kelapa | tua | Buah kelapa yang sudah tua. |
5 | Serbuk | cili | Serbuk yang dibuat daripada cili. |
6 | Sos | tomato | Sos yang dibuat daripada tomato. |
7 | Restoran | Zaini | Restoran itu kepunyaan Zaini. |
8 | Daging | lembu | Daging yang diambil daripada seekor lembu. |
9 | Susu | lembu | Susu yang diambil daripada seekor lembu. |
10 | Lembu | susu | Lembu yang mengeluarkan susu. |
Namun begitu, Hukum D-M mempunyai kekecualian peraturan D-M, iaitu penerang mendahului unsur yang diterangkan, boleh berlaku akibat kebiasaan dalam penggunaan, terutama pada nama-nama jawatan. Contohnya:
Frasa Nama | |
Penerang(M) | Yang Diterangkan(D) |
ibu | pejabat |
timbalan | menteri |
naib | presiden |
timbalan | menteri |
pembantu | penyelidik |
naib | canselor |
naib | yang dipertua |
Cuba perhatikan keliling anda. Berikan 10 benda atau perkara yang boleh dibentuk untuk menjadikannya frasa nama yang mematuhi hukum D-M.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Puan Khannita Binti Zakariah.