Dialog berikut pernah kita dengar di mana-mana.
(1) “Ibu, tolong masakkan along nasi lemak.”
(2) “Masakan ibu tidak tahu memasak nasi lemak.”
(3) “Masakan ibu hari ini sangat sedap.”
Perkataan “masakkan” dan “masakan” dalam ketiga-tiga dialog di atas terbentuk daripada kata dasar masak yang membawa maksud tidak mentah, sudah tua, ranum, matang dan beberapa maksud lain. Namun begitu, perkataan masak apabila dimasukkan imbuhan akhiran “–kan” dan “–an” akan membawa maksud yang berbeza. Bagaimanakah kita membezakan makna bagi ketiga-tiga perkataan di atas? Cara membezakan makna ialah melihat kepada konteks dan situasi perkataan tersebut wujud dalam ayat.
Dialog (1) menunjukkan perkataan masak hadir dengan akhiran “–kan” yang membentuk kata kerja terbitan. Masakkan hadir dalam ayat perintah permintaan yang mengkehendaki si pelaku melakukan perbuatan memasak. Manakala bagi dialog (2) perkataan masakan membawa maksud tidak mungkin ataupun penafian terhadap sesuatu perkara. Dalam hal ini kehadiran akhiran “–an” akan membentuk kata nama terbitan abstrak.
Walau bagaimanapun, menerusi dialog (3), perkataan masakan yang digunakan pada awal dialog membawa maksud yang berbeza dengan dialog (2). Perkataan masakan dalam dialog (3) yang hadir dengan akhiran “–an” merupakan kata nama terbitan yang membawa maksud makanan yang telah dimasak.
Justeru, dalam hal ini, bagi memahami konteks penggunaan sesuatu imbuhan pada kata dasar seharusnya kita memahami konteks penggunaannya dalam ayat atau dialog. Meskipun sesuatu kata terbitan itu lahir daripada kata dasar yang sama, tidak semestinya membawa maksud yang sama.
Malah fungsi kata juga akan berubah sama ada kata nama terbitan, kata kerja terbitan dan sebagainya. Perkara ini perlu difahami melalui pengetahuan yang mendalam bagaimana setiap imbuhan itu berfungsi.
Sebahagian besar kita sering menyebut sebagai satu “k” atau dua “k”. Itu persoalan biasa yang sering diperkatakan oleh pelajar atau remaja. Persoalannya sekarang bukan fungsi huruf “k” itu yang perlu difahami, sebaliknya jenis imbuhan yang digandingkan dengan kata dasar tersebut sama ada akhiran “-kan” hadir atau akhiran “-an” yang seterusnya akan membentuk kata nama atau kata kerja.
Jika akhiran “-kan” hadir bagi kata dasar yang berakhir dengan huruf “k”, manakala bagi akhiran “…an” hadir bersama kata dasar yang berakhir dengan huruf “k”, maka cukuplah perkataan itu mengandungi satu “k”.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini dutulis oleh Noor Zila binti Md. Yusuf