[MAHIR BAHASA MELAYU] Kata Ganti Nama

Share
  • Kata ganti nama ialah kata yang digunakan untuk mengantikan kata nama.
  • Kata ganti nama terbahagi kepada beberapa golongan, iaitu:

 

  1. Kata Ganti Nama Diri
  2. Kata Ganti Nama Tunjuk
  3. Kata Ganti Nama Tanya
  4. Kata Ganti Nama Tempat
  5. Kata Ganti Nama Tak Tentu

 

Kata Ganti Nama Diri

 

  • Kata ganti nama diri digunakan untuk menggantikan nama seseorang.
  • Kata ganti nama diri digunakan khas untuk manusia.
  • Ada dua bentuk kata ganti nama diri dalam bahasa Melayu, iaitu kata ganti nama diri yang berbentuk penuh dan kata ganti nama diri yang berbentuk singkat.
  • Kata ganti nama diri singkat mesti ditulis serangkai dengan kata dasar. Contohnya, untukmu, kauharapkan dan kupercaya.
  • Kata ganti nama diri penuh pula mesti ditulis terpisah sebagai kata yang berasingan.
  • Kata ganti nama diri terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:

 

  • Kata ganti nama diri pertama – digunakan untuk diri orang yang bercakap. Contohnya, saya, aku, beta dan patik.

 

  • Kata ganti nama diri kedua – digunakan untuk diri orang yang dilayan atau diajak bercakap. Contohnya, kamu, anda dan awak.

 

  • Kata ganti nama diri ketiga – digunakan untuk diri orang yang dicakapkan halnya. Contohnya, dia, mereka dan beliau.

 

 

  • Kata ganti nama diri terbahagi kepada dua bentuk, iaitu:
  • Bentuk tunggal seperti saya, anda, dia.
  • Bentuk jamak seperti kita, anda semua dan mereka.

 

Kata Ganti Nama Tunjuk

 

  • Kata ganti nama tunjuk digunakan untuk menunjukkan benda, haiwan, manusia, dan tempat.
  • Kata ganti nama tunjuk terbahagi kepada dua jenis, iaitu
  • ini – menunjukkan sesuatu yang dekat
  • itu – menunjukkan sesuatu yang jauh

 

Kata Ganti Nama Tanya

 

  • Kata ganti nama tanya digunakan untuk menanyakan benda, haiwan, manusia, masa, tempat dan jumlah atau bilangan.
  • Jika kata ganti nama tanya digunakan di hadapan ayat, kata penegas “–kah” mesti digunakan sebagai bahasa yang baku. Contohnya, Bilakah anda tiba?
  • Jika kata ganti nama tanya digunakan di akhir ayat, maka kata ganti nama tanya yang digunakan tidak boleh menggunakan kata penegas “–kah” dalam bahasa baku. Contohnya, anda tiba bila?

 

Kata Ganti Nama Tempat

 

  • Kata ganti nama tempat digunakan untuk menunjukkan kedudukan sesuatu tempat.
  • Kata ganti nama tempat terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:
  • sini
  • situ
  • sana

 

Kata Ganti Nama Tak Tentu (Kata Ganti Nama Umum)

 

  • Kata ganti nama tak tentu digunakan untuk menggantikan benda, manusia, masa, tempat atau hal yang tidak khusus.
  • Kata ganti nama tak tentu terbentuk dengan pengulangan kata ganti nama tanya.
  • Contohnya kata ganti nama tak tentu ialah:
  • apa-apa
  • mana-mana
  • bila-bila

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Prof. Madya Dr. Ramalinggam.

 

Published by
Penulis Jemputan