Apakah yang dimaksudkan dengan “Jamak”? Dalam bidang linguistik “jamak” bererti “banyak”, contohnya perkataan “kuih-muih”. Perkataan ini merujuk kepada “banyak jenis kuih” kerana adanya penggandaan berentak dalam “kuih-muih”.
Dalam sesuatu ayat, jenis kata yang membawa maksud jamak, tidak boleh diulang penggunaannya. Mari kita lihat beberapa ayat contoh di bawah:
- Ribuan penonton membanjiri majlis itu.
- Penonton membanjiri majlis itu.
- Ribuan penonton mengunjungi majlis itu.
Merujuk kepada tiga ayat di atas, hanya ayat (b) dan (c) yang tepat. Jika kita perhatikan ayat contoh (a), kata ‘ribuan’ menunjukkan bilangan lebih daripada satu. Pada masa yang sama, kata ‘membanjiri’ dalam ayat (a) merujuk makna ‘datang banyak-banyak’. Maka, penggunaan kedua-dua kata tersebut dalam ayat (a) dianggap lewah atau berlebihan. Mari kita teliti ayat dibawah:
- Baju-baju yang dijual itu mahal-mahal belaka.
- Baju yang dijual itu mahal belaka.
Contoh ayat (a) tidak gramatis, manakala ayat (b) ialah ayat yang tepat. Kata nama ganda “baju-baju” dan kata adjektif ganda ‘mahal-mahal’, seperti dalam ayat (a), tidak boleh ditulis dalam ayat yang sama kerana dianggap lewah.
Pada masa yang sama, kekeliruan juga timbul semasa penggandaan kata “guru besar”. Antara berikut, manakah penggandaan yang tepat?
- Guru-guru besar.
- Guru besar-guru besar.
- Guru besar-besar.
Jika diteliti tiga contoh perkataan di atas, hanya (a) dan (c) yang tepat. ‘Guru-guru besar’ membawa makna bilangan guru besar (jawatan) yang ramai. Manakala, ‘guru besar-besar’ pula merujuk jumlah guru yang lebih daripada satu dan berbadan besar. Bagi perkataan (a), penggandaan hanya berlaku pada unsur pertama sahaja untuk membawa makna guru besar yang ramai. Manakala, perkataan (c) merujuk kepada guru yang mempunyai badan yang besar.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh NOR FAZILAH BINTI NOOR DIN.