[MAHIR BAHASA MELAYU] Keliru Dengan Kata Majmuk

Share

“Antara contoh kata ganda berentak ialah remuk-redam, corat-coret, warna-warni dan bukit-bukau”, terang Azmi kepada Naqui. “Hei, bukit bukau bukan merupakan kata ganda berentaklah, tapi kata majmuk,” sampuk Johan. “Mengapa kamu menyatakan demikian”, tanya Azmi kepada Johan”. “Kedua-dua perkataan itu mempunyai maksud tertentu dan boleh berdiri sendiri. Bukit bermaksud kawasan tanah yang tinggi, manakala bukau bermaksud lembah, maka tidak ada tanda sempang antara bukit dengan bukau”. Jelas Johan. Oleh itu, apakah maksud kata majmuk?

Kata majmuk ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih, dan mewujudkan makna tertentu. Kata majmuk ialah kata-kata yang dibentuk daripada gabungan dua atau lebih morfem bebas dan makna kata yang baharu dibentuk itu berlainan daripada makna asal kata-kata yang membentuknya. Abdullah Hassan (2006: 268) telah menyenaraikan rumusan definisi kata majmuk berdasarkan satu seminar yang dihadiri, iaitu:

  1. Kata majmuk terdiri daripada sekurang-kurangnya dua morfem bebas.
  2. Kaitan antara unsurnya tidaklah berkaitan secara langsung dalam hubungan D-M. Kedua-dua unsurnya bukan D (diterangkan) dan M (menerangkan), unsurnya masih daripada kata majmuk.
  3. Hukum D-M pada Frasa Nama lebih langsung daripada DM pada kata majmuk.
  4. Maknanya masih bergantung pada inti. Daripada inti itulah ditambah dengan ciri-ciri khusus makna itu.
  5. Gabungan dua morfem bebas tidak melibatkan sebarang imbuhan, untuk mengelakkan kata terbitan menjadi kompleks.
  6. Tidak boleh disisipkan sebarang bentuk atau perkataan yang lain.

Berdasarkan enam rumusan kata majmuk, kesimpulannya kata majmuk yang dibentuk mestilah lebih daripada satu kata dan perlu mewujudkan satu kesatuan makna. Antara kedua-dua perkataaan yang dimajmukkan itu, tidak boleh diselitkan perkataan lain walaupun tidak berubah makna. Asas pembinaan kata majmuk juga mestilah berdasarkan hukum D-M.
Kata majmuk dapat dibahagikan kepada tiga kelompok, iaitu:

  1. Rangkai kata bebas

Kata majmuk rangkai kata bebas diwujudkan dengan menggabungkan dua kata atau lebih yang berlainan makna dan mewujudkan satu makna yang baharu. Kata majmuk yang baharu wujud ini tidak boleh diselitkan dengan kata lain walaupun makna tidak berubah. Antara contoh kata majmuk rangkai kata bebas ialah jalan raya, tengah hari, lebuh raya, warga kota, bandar raya, atur cara, susun atur dan lain-lain lagi. Namun demikian terdapat kekecualian untuk kata nama khas iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Keretapi Tanah Melayu.

Terdapat juga bentuk kata yang digunakan sebagai gelaran. Walaupun penggunaannya menyalahi hukum D-M, namun diberikan kekecualian. Antara contoh kekecualian kata majmuk ialah Perdana Menteri, Ketua Menteri, Naib Canselor dan lain-lain.

  1. Istilah khusus

Kata majmuk istilah khusus ialah satu bentuk kata nama yang digunakan secara khusus dalam bidang tertentu yang menggunakan dua kata yang berlainan tetapi mewujudkan satu makna. Antara contoh kata majmuk istilah khusus ialah reka bentuk,
garis pusat, lut sinar, batu kapur, pita suara dan lain-lain lagi.

  1. Maksud kiasan

Kata majmuk maksud kiasan terdiri daripada simpulan bahasa yang membawa makna yang khusus. Sebab-sebab simpulan bahasa dianggap sebagai kata majmuk ialah kata yang disimpulkan itu mempunyai satu kesatuan yang bermakna. Contoh kata majmuk yang membawa maksud kiasan ialah hati batu, ringan tangan, kaki botol, kaki bangku dan lain-lain.

Walaupun kata majmuk biasanya ditulis secara terpisah, namun begitu terdapat kata majmuk yang ditulis secara berangkai atau sebagai satu perkataan. Kata majmuk ini dianggap telah mantap. Misalnya; kerjasama, bumiputera, kakitangan, suruhanjaya sukarela, pesuruhjaya, matahari, tandatangan, setiausaha, tanggungjawab, warganegara, jawatankuasa, antarabangsa, olahraga dan lain-lain.

Perkataan yang tergolong dalam kata tertentu yang lazimnya ditulis secara bercantum tetapi tidak dianggap sebagai kata majmuk mantap ialah walhal, apakala, barangkali, darihal, padahal, manakala, perikemanusiaan, kadangkala, dinihari, apabila, sukacita, dukacita, hulubalang, peribahasa.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh DR. HAJI AMIR BIN HAJI JUHARI

Published by
Penulis Jemputan